|
KIRA-KIRA 100 pengusaha bot nelayan kelas B dan C membuat perhimpunan aman di hadapan Kompleks
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya
Kuantan: Di sebalik kegembiraan nelayan menerima bantuan Aidilfitri RM200, pengusaha bot nelayan kelas B dan C pula mengeluh selepas subsidi diesel untuk kelas berkenaan dikurangkan bermula 1 Januari lalu.
Susulan itu, kira-kira 100 pengusaha bot nelayan kelas B dan C sekitar daerah ini mengadakan perhimpunan aman di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, hari ini.
Wakil pengusah bot nelayan, Lee Bing Quan, 31, berkata, perhimpunan itu dibuat bagi meminta kerajaan mengkaji semula keputusan mengurangkan subsidi diesel untuk bot kelas B dan C.
Quan memberitahu, subsidi diesel kini dikurangkan kepada RM14,000 berbanding RM16,000 sebelum ini bagi bot kelas B manakala bagi bot kelas C pula, pengurangannya adalah sebanyak RM3,000 daripada jumlah RM20,000 tahun lalu.
"Jumlah diesel subsidi yang diterima kini hanya mampu menampung satu trip perjalanan untuk lebih 10 hari perjalanan menangkap ikan.
"Kebiasaannya, kami melakukan dua trip perjalanan dengan setiap satu trip bagi bot nelayan kelas C menelan kos bahan api sekitar RM10,000.
"Bila ada subsidi minyak RM20,000, dapatlah buat dua trip perjalanan, namun sejak subsidi dikurangkan, kami hanya dapat melakukan satu trip perjalanan sahaja dalam sebulan," katanya.
Quan berkata, disebabkan pengurangan subsidi diesel itu, ia akan memberi kesan terhadap pendapatan pengusaha bot serta nelayan yang bekerja dengan mereka.
"Di Kuantan sahaja, terdapat 200 bot nelayan dengan setiap bot memiliki sekitar enam pekerja. Jadi, jika hanya dapat melakukan satu trip perjalanan sahaja dalam sebulan, pendapatan kami akan berkurang dan kami tidak dapat membayar gaji pekerja.
"Tidak hanya itu, hasil pendaratan ikan juga akan terjejas sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan ikan di pasaran. Keadaan ini juga boleh menyebabkan harga ikan akan meningkat seterusnya membebankan pengguna" katanya.
Seorang lagi pengusaha bot nelayan, Ariping Mohd, 70, berkata, kesemua pengusaha bot nelayan bergantung sepenuhnya kepada subsidi diesel yang diberikan dan tidak dibenarkan untuk membeli diesel dari luar.
"Kami hanya boleh membeli bahan api mengikut kuota subsidi diesel yang dikeluarkan. Jika kami membeli bahan api di luar, kami akan dikenakan tindakan seperti lesen kami digantung dan sebagainya.
"Oleh itu, kami berharap kerajaan meneliti semula tindakan pengurangan subsidi diesel ini," katanya.
Tambah Ariping, dia berharap kerajaan bersimpati dengan nasib pengusaha bot nelayan, terutamanya mereka yang masih menanggung beban hutang bank bagi pinjaman pembelian bot nelayan.
"Saya dapat tahu, ada antara rakan pengusaha bot nelayan di negeri lain yang terpaksa menjual bot mereka dan beberapa kelengkapan menangkap ikan lain kerana tidak dapat menampung kos berikutan subsidi diesel dikurangkan.
"Ia amat memberi kesan kepada kami pengusaha bot dan nelayan. Kami harap kerajaan pertimbangkan untuk menaikkan semula kadar subsidi sebagaimana sebelum ini," ujarnya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... lebih-kerap-ke-laut |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|