View: 881|Reply: 0
|
[Johor]
Jual tambah nilai judi online di 'kedai runcit'
[Copy link]
|
|

PREMIS yang disyaki menjual tambah nilai pra bayar judi dalam talian di Taman Tampoi Indah di sini. FOTO Ihsan pembaca.
Johor Bahru: Di sebalik operasi berterusan pihak berkuasa ke atas aktiviti judi dalam talian, kegiatan haram itu seolah-olah tiada kesudahan apabila terus beroperasi selepas tindakan dilakukan.
Tinjauan di Taman Tampoi Indah yang dibuat susulan maklumat daripada pembaca mendapati premis yang disyaki menjual tambah nilai pra bayar judi dalam talian menggunakan taktik berselindung sebagai kemudahan tambah nilai syarikat telekomunikasi.
Malah, di luar premis mereka turut menggunakan papan tanda kedai runcit dan meletakkan barangan seperti tisu dan air mineral di ruang depan premis yang dibahagikan dengan sekatan dinding papan.
Tisu dan air mineral yang diletakkan itu bagaimanapun dalam jumlah yang kecil cukup sekadar lakonan sebagai kedai runcit.
Namun, ketika masuk ke premis dan bertanyakan untuk membeli tambah nilai pra bayar syarikat telekomunikasi, wanita warga asing yang menjaga kedai itu terpinga-pinga dan berkata tiada kad tambah nilai sedemikian dijual di situ.
Difahamkan, ada premis yang beroperasi 24 jam itu hanya berinteraksi dengan pekerja melalui tingkap kecil.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Azhari ketika ditemui berhampiran premis itu berkata, sesuatu yang pelik apabila kedai runcit kecil tidak banyak barang tetapi sering dikunjungi pelanggan.
"Saya percaya ini adalah taktik mengaburi mata pihak berkuasa. Memang benar pihak berkuasa banyak melakukan tindakan ke atas kegiatan judi dalam talian tapi mereka nampaknya berani beroperasi semula selepas beberapa hari.
"Masyarakat juga kena mainkan peranan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan tidak bermoral ini," katanya.
Sebelum ini akhbar ini mendedahkan kewujudan premis menjual tambah nilai pra bayar judi dalam talian di Taman Melodies dan Taman Molek. Susulan pendedahan itu, premis di kedua-dua taman perumahan itu ditutup.
Pada 30 Mac lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata polis menahan 423 individu dalam Op Dadu Khas bagi tempoh tiga bulan bermula Januari lalu di seluruh negeri ini.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ine-di-kedai-runcit |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|