CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 259|Reply: 0

[Perak] Fasa pencen abang askar

[Copy link]
Post time 9-4-2023 10:12 AM | Show all posts |Read mode

AZMAN (kiri) menjual daging lembu segar di pasar minggu dekat Slim River, manakala Shaari (kanan) mengambil upah membaiki saluran paip rumah yang rosak. FOTO Rosman Shamsudin

Slim River: Demi kelangsungan hidup, pesara tentera, Azman Hasan, 62, sanggup melakukan pelbagai pekerjaan bagi mendepani cabaran tuntutan dalam kehidupan masa kini.

Baginya, rezeki ada di mana-mana sahaja dan yang penting perlu berusaha dengan tekun serta bertawakal dan mensyukuri nikmat Tuhan.

Bekas Pegawai Waran Dua itu berkata, selepas bersara wajib dalam tentera, dia yang berasal dari Temerloh, Pahang mengambil keputusan menetap di Kampung Balun, Perak.

Katanya, sejak itu pelbagai pekerjaan dilakukan bagi membesarkan tiga anak yang kini berusia 23 sehingga 31 tahun.

"Kini, masa yang ada saya gunakan untuk mencari rezeki di Sungai Slim sebagai nelayan darat kerana sungai terbabit mempunyai pelbagai spesies ikan yang mampu memberi pulangan yang agak lumayan.

"Sebahagian ikan ini akan dijual kepada pemilik restoran dan juga dijadikan pekasam serta hidangan makanan tengah hari," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Setiap minggu terutama pada Ahad, dia akan berniaga daging lembu segar di pasar minggu dekat pekan Slim River.

Setiap minggu sekurang-kurangnya 50 kilogram (kg) daging lembu tempatan yang dibeli daripada rakan sekampung habis dijual kepada pengunjung pasar berkenaan.

Azman mengakui permintaan terhadap daging lembu segar tempatan memang menggalakkan dan mampu memberi rezeki tambahan dalam kehidupan.

Katanya, daging lembu hanya dijual dengan harga RM38 sekilogram dan tulang serta organ dalaman pula dijual pada harga RM35 sekilogram manakala daging batang pinang RM43 sekilogram.

"Menjelang Aidilfitri, biasanya saya akan membantu rakan menjual lebih 10 ekor daging lembu tempatan di pekan ini dan berdekatan.

"Walaupun kerja ini agak berat sedikit dan memerlukan tenaga dan kudrat namun berbaloi selepas daging berkenaan habis terjual kepada orang ramai," katanya.

Azman sebelum ini pernah menjadi pelakon tambahan arahan pengarah tersohor tanah air, Allahyarham Mamat Khalid dalam filem 16 Puasa.

Filem berkenaan menampilkan watak sebagai penebar roti canai dan kini semua itu menjadi antara memori atau kenangan dalam meniti kehidupan.

Dia yang juga seorang duda berkata, selepas pemergian isteri tercinta, Hamidah Husin ketika berusia 58 tahun kira-kira dua tahun yang lalu akibat serangan jantung sedikit sebanyak mengubah cara kehidupan seharian.

Katanya, kesibukan mencari rezeki sekurang-kurangnya dapat mengubati kesunyian dan rindu kepada arwah isteri yang banyak mengajarnya erti sebuah kehidupan.

"Apabila saya sibuk dengan melakukan kerja sebegini sambil mencari rezeki sekurang-kurangnya dapat meredakan perasaan rindu seketika.

"Lumrah kehidupan, setiap yang bermula pasti akan berakhir dan setiap yang hidup pasti akan merasai kematian, malah mahu atau tidak mahu mesti reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Sementara itu, bekas tentera, Shaari Jalil, 64, pula berkata, untuk meneruskan kelangsungan hidup dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di pekan berkenaan.

Katanya, sebelum berhenti dalam tentera dia mengikuti kursus peralihan juru kerja paip di Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera Malaysia (Perhebat).

"Kalau saya bekerja pada waktu malam, pada sebelah siang saya akan mengambil upah memasang paip atau membaiki saluran paip air rumah penduduk yang rosak.

"Pada waktu pagi biasanya, saya mengambil upah memotong rumput di kawasan rumah penduduk dan dengan kerja ini saya juga dibayar upah," katanya askar berpangkat koperal sebelum bersara.

Shaari berkata, walaupun orang nampak seolah-olah dia bekerja siang dan malam atau tidak mengira waktu namun dia sentiasa bijak mencari masa untuk merehatkan diri dan bersama keluarga.

Katanya, selagi kudrat dan tenaga masih ada maka dia akan terus berkerja walaupun bukannya untuk mengejar kejayaan tetapi cukuplah untuk menampung kehidupan seharian.

https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -pencen-abang-askar
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-2-2025 06:26 PM GMT+8 , Processed in 0.042046 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list