|
FIKRI (bukan nama sebenar) membayar zakat fitrah kepada amil di Penjara Penor. FOTO Mohd Rafi Mamat
Kuantan: Seramai 738 banduan di Penjara Penor dekat sini, dan Penjara Bentong, Bentong, menunaikan kewajipan membayar zakar fitrah masing-masing, sejak awal Ramadan tahun ini.
Pengarah Penjara Pahang, Datuk Abu Hasan Hussain berkata, setiap tahun, banduan di dua penjara itu membayar zakat fitrah kepada amil yang dilantik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (Muip) yang terdiri daripada pegawai agama Jabatan Penjara Pahang.
Menurutnya, pada Ramadan kali ini, seramai 365 banduan di Penjara Bentong dan 373 banduan Penjara Penor secara sukarela tampil membayar zakat fitrah untuk diri masing-masing membabitkan jumlah bayaran RM6,419.
"Kita tidak pernah memaksa banduan untuk membayar zakat fitrah apabila tiba Ramadan, mereka secara ikhlas tampil menunaikan tanggungjawab kepada agama.
"Pendapatan hasil kerja yang dilakukan dalam penjara digunakan untuk mereka membayar zakat fitrah," katanya, dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata, sepanjang Ramadan, banduan terpilih turut mengikuti program tadarus al-Quran yang dipimpin oleh guru agama dan mereka mengaji bermula pada pagi hingga 3 petang.
Abu Hasan menambah, majlis khatam al-Quran turut diadakan apabila peserta program berkenaan selesai menamatkan bacaan al-Quran mereka secara berkumpulan, antara tiga hingga empat kali.
Fikri (bukan nama sebenar), 42, bekas guru agama yang dikenakan hukuman 24 tahun penjara dan enam sebatan kerana kes liwat berkata, kesedaran untuk membayar zakat fitrah muncul dalam dirinya bukan dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Katanya, hukum membayar zakat fitrah wajib bagi orang Islam yang memenuhi syarat dan walaupun dia seorang banduan, namun dengan sedikit pendapatan yang ada, dia wajib menunaikan tanggungjawab ditetapkan.
Rakannya, Remey (bukan nama sebenar), 45, pula berkata, mereka terasa puas terasa apabila dapat menunaikan kewajipan pada agama.
"Wang upah kerja yang dilakukan saya digunakan untuk membayar zakat fitrah.... RM7 dikeluarkan tidak terlalu membebankan," katanya yang berada di balik tirai besi selepas dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 20 sebatan kerana kesalahan mengedar dan menagih dadah.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -bayar-zakat-fitrah |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|