|
Farihah (kiri) ketika menyantuni Nurhaliza (dua kanan) bagi menyampaikan Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat di rumah mentuanya di Taman Hidayah, Marang. FOTO Ihsan Perkeso
Marang: "Saya rasa pelik dan tersentap apabila arwah anak beritahu dia memilih baju raya berwarna putih tahun ini sedangkan warna kegemarannya adalah merah jambu," kata Nurhaliza Henderi, 31.
Dia adalah ibu kepada Syuhada Hafiya, 7, yang maut bersama bapanya, Subhi Sayuti Abd Ghani, 43, ketika dalam perjalanan pulang beraya di rumah keluarga di Taman Hidayah, di sini, tiga hari sebelum sambutan Aildilfitri.
Nurhaliza yang berasal dari Sandakan, Sabah berkata, arwah anak beritahu warna putih cantik dan mahu tukar warna raya tahun ini.
"Saya terkedu dan terdiam bila dia kata begitu dan mengiyakan sahaja dan tidak sangka pilihan warna itu sebagai petanda dia mahu pergi buat selama-lamanya.
"Itulah perbualan akhir kami menerusi panggilan video iaitu sehari sebelum kejadian menimpa suami dan anak," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dia yang kini tinggal bersama anak bongsunya, Muhammad Naufal, 3, di Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur berkata, suaminya pula berubah sikap tidak mahu bercakap dengannya ketika membuat panggilan video, sedangkan sepanjang tempoh perkahwinan lelaki itu tidak pernah bersikap demikian.
Malah, katanya arwah suami seorang yang penyayang, mesra, ambil berat terhadap keluarga dan taat suruhan agama selain sentiasa dekat dengan al-Quran.
"Kami tidak pernah berpisah, malah ke mana-mana sahaja mesti bersama kecuali kerja, jadi apabila dia (arwah suami) tidak mahu bercakap, saya rasa pelik.
"Saya mula menyedari semua perubahan sikap arwah suami dan anak itu sebagai petanda awal mereka mahu pergi buat selama-lamanya selepas menerima panggilan telefon daripada bapa mentua memberitahu mereka terbabit kemalangan dan meninggal dunia," katanya.
Nurhaliza yang tidak bekerja berkata, setiap tahun mereka beraya bersama tetapi tahun ini dia pulang beraya bersama keluarga di Sandakan selepas mendapat keizinan suami.
"Sepanjang lapan tahun perkahwinan saya tidak pernah pulang ke kampung untuk beraya.
"Tahun ini saya (arwah suami) izinkan awak dan Naufal pulang menyambut Hari Raya di Sabah dan saya (arwah suami) bersama Syuhada pulang ke Terengganu," itulah kata-kata arwah suami pada 2 April lalu.
"Sambutan Aidilfitri tahun ini tidak bermakna buat kami namun redha dengan apa yang berlaku," katanya.
Menurutnya, dia tidak bercadang untuk pulang ke Sandakan sebaliknya akan terus menetap di Kuala Lumpur dan berusaha mencari pekerjaan bagi menampung kehidupan mereka.
"Saya bersyukur kerana mendapat Faedah Pencen Penakat arwah suami yang mencarum dalam Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) sebanyak RM1,475 setiap bulan selain Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000.
"Wang ini akan saya gunakan sebaik mungkin sementara mendapat sumber pendapatan lain," katanya.
Penyerahan Faedah berkenaan disampaikan Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin di rumah keluarga mentua di Taman Hidayah, Marang, pada Selasa lalu.
Dalam kejadian 6.30 pagi di Kilometer 28 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Pulau Kerengga, Marang, itu Subhi Sayuti yang memanduPerodua Alza, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Syuhada meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... h-petanda-ajal-anak |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|