View: 202|Reply: 0
|
[Kelantan]
Tukang cuci kelas pertama!
[Copy link]
|
|
NUR Fadila yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia dari UiTM Puncak Alam bekerja sebagai tukang cuci Masjid Al-Ismaili, Pasir Pekan, Tumpat.
Tumpat: "Alhamdulillah, saya gembira dengan pekerjaan yang dilakukan sekarang kerana berada dekat dengan masjid selain dapat menunaikan solat lima waktu secara berjemaah."
Begitu kata Nur Fadila Hamzah, 36, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kini bekerja sebagai sukarelawan di Masjid Al-Ismaili Pasir Pekan di sini.
Terdahulu, Nur Fadila membalas pertanyaan netizen menerusi akaun TikToknya apabila ditanya tidak malukah bekerja sebagai tukang cuci sedangkan memperoleh ijazah kelas pertama.
Nur Fadila berkata, niat ikhlasnya mahu menjadi sukarelawan membuka pintu rezeki buat dirinya apabila masjid berkenaan sanggup membayar gaji bulanan sehingga mampu menyara tiga anaknya yang masih kecil.
Menurutnya, walaupun memegang segulung ijazah, dia tidak memilih kerjaya kerana pernah melakukan pelbagai pekerjaan termasuk sebagai tukang cuci.
Katanya, selepas berpisah dengan bekas suami lebih setahun lalu, dia mengambil keputusan pulang ke kampung halamannya di Gelang Mas, Pasir Pekan bersama tiga anaknya berusia lima hingga 11 tahun.
"Demi meneruskan kelangsungan hidup, saya kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk menyara anak-anak yang masih kecil dan melakukan pelbagai pekerjaan sebaik pulang ke kampung.
"Kerja pertama saya adalah menjadi tenaga pengajar di sebuah taska di Pasir Pekan namun terpaksa berhenti selepas tiga bulan kerana mahu menjaga ibu yang sedang sakit ketika itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Katanya, selepas keadaan ibunya kembali pulih, dia mencari pekerjaan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.
"Doa saya dimakbulkan apabila terlihat iklan memerlukan sukarelawan di sebuah masjid di Pasir Pekan ketika singgah hendak menunaikan solat di situ.
"Saya tergerak hati untuk berjumpa dengan pengurusan masjid dan bertanya mengenai iklan berkenaan sebelum diberitahu masih kekosongan selain dibayar gaji bulanan dan juga caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.
Menurutnya, perpisahan dengan bekas suami menjadikannya seorang wanita tabah serta gigih mencari pekerjaan untuk kehidupan yang lebih baik.
Katanya, dia tidak kisah bekerja sebagai pencuci masjid kerana paling penting dapat tinggal bersama ibu bapa yang sudah uzur di kampung.
"Walaupun gaji yang diperoleh tidak seberapa jika dibandingkan dengan kelulusan, ia bukan ukurannya sebaliknya tugas saya secara tidak langsung membolehkan anak kariah beribadat dengan lebih selesa.
"Saya tidak kisah berapa pun gaji yang dibayar, asalkan cukup untuk menampung kehidupan saya bersama anak-anak. Masa saya kini banyak dihabiskan di masjid memandangkan waktu bekerja bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
"Selain bekerja, saya juga berpeluang membuat amal ibadat dengan tenang dan berpeluang mendengar alunan ayat suci al-Quran. Itu salah satu nikmat yang dapat dirasakan dan rezeki halal untuk menyara keluarga," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -cuci-kelas-pertama |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|