|
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Kuala Terengganu: Sebanyak 794 kes pembakaran terbuka direkodkan di Terengganu dalam tempoh bermula Januari sehingga 26 April lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Hassan As'ari Omar berkata, daripada jumlah itu, 489 kes direkodkan sepanjang April lalu.
Beliau berkata, keadaan cuaca yang panas, April lalu menyumbang kepada peningkatan kes pembakaran terbuka dalam tempoh berkenaan berbanding hanya 12 kes pada Januari, 39 kes (Februari) dan 254 kes (Mac).
Beliau berkata, Kuala Nerus merekodkan jumlah kes pembakaran terbuka tertinggi iaitu 151 kes diikuti Dungun (122 kes), Marang (114 kes), Kuala Terengganu (109 kes), Besut (98 kes).
"Hulu Terengganu merekodkan jumlah pembakaran terendah apabila hanya 14 kes direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.
"Kebanyakan kejadian kebakaran itu membabitkan kawasan hutan gambut, kebun, belukar dan kawasan lalang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Hassan As'ariberkata, jumlah kebakaran mula meningkat pada Mac lalu berikutan cuaca panas selain faktor kecuaian manusia yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa pemantauan.
Beliau berkata, kes pembakaran terbuka amat tinggi sepanjang April kerana keadaan cuaca yang panas namun keadaan semakin berkurangan bermula 26 April apabila kita mula menerima hujan.
"Walaupun keadaan cuaca tidak panas berikutan hujan, kita sentiasa memantau beberapa kawasan titik panas yang berpotensi berlakunya kebakaran.
"Orang ramai terutama peladang atau pekebun diingatkan supaya melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka yang boleh menyebabkan jerebu.
"Kita turut meminta kerjasama masyarakat untuk melaporkan segera kepada kita atau agensi berkaitan sekiranya berlaku kebakaran secara terbuka tanpa pemantauan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... rbuka-di-terengganu |
|