|
Kasmara Kadir, 48, menunjukkan foto terakhir bersama arwah suami, Nik Nordin Jusof, 51, yang meninggal dunia pada raya kedua selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Kota Bharu: "Di masa hidupnya, arwah menyenangkan saya dan anak-anak. Selepas dia pergi selama-lamanya pun masih ada 'bekal' buat kami meneruskan kehidupan," kata Kasmara Kadir, 48.
Ibu lima anak itu bersyukur arwah suaminya, Nik Nordin Jusof yang meninggal dunia dalam kemalangan pada 21 April lalu tidak lupa tanggungjawabnya terhadap keluarga.
Kasmara menyifatkan, pencen penakat RM1,310 sebulan dan Faedah Pengurusan Mayat RM2,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang diterimanya adalah 'bekalan' daripada arwah dalam meringankan bebannya.
"Sejujurnya kami masih merasai pemergian arwah, namun reda dengan setiap ketentuan Ilahi. Raya tahun ini adalah raya yang menyedihkan buat kami kerana dia pergi ketika sambutan Syawal.
"Bagaimanapun, saya dan anak-anak sempat beraya dengannya di hospital dan saling bermaaf-maafan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir pada raya kedua.
"Sekarang sudah tiada lagi gurau senda daripada seorang yang bergelar suami selain sikapnya yang peramah akan sentiasa dirindui," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pulau Melaka, di sini, semalam.
Terdahulu, Kasmara menerima kunjungan Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob dan Pengerusi Eksekutif Ekspres E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail yang juga majikan Nik Nordin.
Dalam kejadian 21 April lalu, Nik Nordin yang memandu bas ekspres Mutiara terbabit kemalangan dengan Perodua Myvi di Kilometer 21 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Sungai Ikan, Kuala Nerus, Terengganu.
Kemalangan menyebabkan suami isteri menaiki kereta itu, Che Ku Yusoff Ali Che Ku Embong, 52, dan isteri, Siti Faridaf Ahmad, 46, maut di lokasi kejadian, sementara Nik Nordin meninggal dunia ketika rawatan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... an-bekal-untuk-kami |
|