|
Kota Bharu: Bekalan gula bagi paket satu kilogram (kg) di Kelantan kembali pulih apabila kebanyakan kedai sudah mendapat barangan keperluan itu sejak beberapa hari lalu.
Tinjauan di beberapa premis di sekitar Kota Bharu termasuk sebuah pasar raya besar dan kedai runcit mendapati stok gula sudah ada di kedai berikutan bekalan itu sampai sejak kelmarin dan semalam.
Pengurusnya, Zaidi Hamat berkata, pasar raya berkenaan tidak mempunyai masalah berikutan bekalan gula yang banyak dan mampu menampung permintaan daripada pemborong, peruncit dan pembeli secara runcit.
Katanya, bagi pelanggan yang mahu membeli dalam kuantiti banyak terutama pemborong dan peruncit, mereka perlu mempunyai kad pemborong.
"Kad ini membolehkan mereka membeli bekalan gula secara pukal untuk dijual kembali kepada pelanggan.
"Bagi pelanggan yang membeli secara runcit, kita mengehadkan setiap seorang boleh membeli sebanyak tiga kg sahaja. Ini untuk memastikan semua pelanggan yang datang untuk mendapatkan bekalan dapat membeli gula," kata di sini, hari ini.
FOTO HIASAN
Sementara itu, peniaga kedai borong dan runcit, Nor Azlinda Roslan, 35, berkata, bekalan gula sampai di kedainya sejak tiga hari lalu dan habis dalam masa sehari sebelum stok baharu sampai semalam sebanyak 1,920 kg.
Katanya, sebaik stok sampai ramai yang datang memborong dan membeli secara runcit, namun dihadkan kepada tiga kg seorang.
"Bagi peniaga dan mereka yang mempunyai lesen borong, saya membenarkan mereka membeli secara pukal.
"Yang tiada lesen, saya mengehadkan pelanggan dapat membeli sebanyak tiga kg seorang sahaja kerana mahu memastikan semua yang datang mendapat bekalan gula," katanya yang berniaga di Tanjung Chat di sini.
Menurutnya, masalah ketiadaan gula pada minggu pertama Aidilfitri disebabkan bekalan tidak sampai dan kini beransur pulih.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... antan-pulih-metrotv |
|