|
NUR Farahah tidak dapat menahan kesedihan ketika berkongsi kejadian menimpa arwah suami dan adik ipar ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Pengkalan Batu. FOTO Zaid Salim
Kuala Nerus: "Saya kuat kerana sokongan dan bantuan suami. Apabila dia dah tak ada, saya rasa 'down' (lemah semangat). Dia seorang suami yang baik," kata Nur Farahah Shahdan, 32.
Nur Farahah adalah isteri kepada Mohd Husaini Amir Harun, 29, yang maut bersama adiknya Muhammad Amirul Syafiq, 25, selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 257.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, dekat susur keluar ke Senawang, Negeri Sembilan, jam 7 pagi semalam.
Nur Farahah yang menghidap komplikasi buah pinggang tahap lima berkata, walaupun sedih dengan pemergian suami, namun dia kena kuat menghadapi hari mendatang walaupun tanpa sokongan dan bantuan orang tersayang.
"Arwah ketika hayatnya pernah berpesan sekiranya dia sudah tiada, saya kena kuat hadapi (kesakitan) walaupun bersendirian.
"Arwah seorang suami yang sangat sempurna dan hubungan kami mesra, tidak pernah bergaduh, malah hubungan kami seperti rakan.
"Sepanjang empat tahun kami berkahwin, tidak pernah ada selisih faham, malah arwah reda dan memberi sokongan kepada saya selepas mendapat tahu saya menghidapi masalah buah pinggang," katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Pengkalan Batu, di sini, hari ini.
Berkongsi berita pemergian arwah suami, Nur Farahah berkata, dia menerima panggilan daripada seorang yang tidak dikenali mendakwa rakan Mohd Husaini.
Katanya, lelaki itu hanya memberitahu Syafik meninggal dunia di tempat kejadian manakala keadaan suami belum dipastikan.
"Bagaimanapun, pesanan suara daripada lelaki terbabit beberapa saat selepas membuat panggilan memberitahu Sani (panggilan mesra arwah) turut meninggal dunia di tempat kejadian membuat saya terkedu.
"Fikiran saya bercelaru, sedih, terkejut, kaki rasa tak pijak di lantai, rasa nak pengsan. Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya ketika itu," katanya.
Nur Farahah yang berasal dari Kota Tinggi, Johor berkata, arwah suami langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum terbabit kemalangan.
Katanya, pada pagi hari kejadian, dia seperti biasa bersalaman dan mencium dahinya sebelum keluar rumah.
"Memang itu rutin yang dilakukan setiap hari ketika keluar bekerja. Dia juga tidak lupa membuat panggilan video dengan keluarga dan bertanya khabar keadaan keluarga di kampung.
"Arwah seorang yang sangat mengambil berat hal keluarga dan boleh dikatakan setiap hari dia membuat panggilan video," katanya.
Dia yang sebelum ini menyewa bersama suami di Seri Kembangan, Selangor bercadang pulang menetap bersama keluarga di kampung.
"Saya menjalani dialisis di rumah sebanyak empat kali sehari dan ada kalanya saya perlu ke hospital untuk rawatan susulan.
"Saya perlukan bantuan seseorang untuk ke hospital. Jadi saya perlu balik kampung kerana di kampung ramai saudara mara yang boleh saya minta tolong," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... erakhir-arwah-suami |
|