View: 199|Reply: 0
|
[Kelantan]
Makanan ditempah pelanggan untuk rumah terbuka hangus
[Copy link]
|
|
RAJA Norhanani menunjukkan ruang dapur yang terbakar sehingga menyebabkan barang jualan dan perkakas elektrik musnah. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Kota Bharu: Sepasang suami isteri dari Kampung Kubur Maras, di sini, terpaksa membatalkan tempahan makanan daripada pelanggan selepas kediaman mereka terbakar pada Khamis lalu.
Raja Norhanani Raja Norabidin Shah, 36, berkata, kesemua barang dan persiapan makanan yang ditempah pelanggan untuk rumah terbuka pada Aidilfitri hangus apabila api mula menyambar dapur sebelum merebak ke ruang tamu.
Katanya, dia mula menerima tempahan daripada pelanggan sejak Ramadan lalu, namun insiden yang berlaku di luar jangkaan menyebabkan dia terpaksa membatalkan kesemua tempahan dan bernasib baik pelanggan memahaminya.
"Buat sementara waktu ini, kami memang tidak boleh beroperasi kerana perkakas memasak musnah dan kini buntu memikirkan bagaimana untuk kami bangkit memulakan semula perniagaan tempahan makanan yang diusahakan sejak 2017.
Advertisement
"Anggaran kerugian adalah kira-kira RM100,000 termasuk peti sejuk beku bersaiz besar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubur Maras, di sini, hari ini.
Raja Norhanani berkata, sebelum kejadian, dia dan suami baru saja selesai memasak sambal bilis nasi lemak yang ditempah pelanggan.
"Bagaimanapun, pada jam 3.30 pagi Khamis lalu, saya terdengar anak bongsu berusia setahun setengah menangis di ruang tamu bahagian bawah.
"Saya bangun dan terkejut melihat kepulan asap dan terus menjerit memanggil suami yang pada ketika itu sedang tidur di ruang tamu dan melihat api sedang marak di dapur," katanya.
Katanya, dalam keadaan kelam-kabut, mereka membawa anak-anak keluar ke tempat yang selamat kerana hampir segenap ruang di dalam rumah dipenuhi asap tebal sebelum dia menghubungi balai bomba berdekatan.
"Lebih malang, suami saya patah kaki kanan disebabkan berlari menyelamatkan anak dalam keadaan gelap dan asap tebal sebelum mengetuk rumah jiran untuk memaklumkan kejadian," katanya.
Katanya, mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah kakaknya yang terletak di Pasir Mas.
"Sudah lebih seminggu kami sekeluarga menumpang di rumah kakak disebabkan kediaman kami perlu dibaiki termasuk pendawaian elektrik," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam bernombor 13017020901869 atas nama Raja Norhanani Raja Norabidin Shah atau menghubunginya di talian 01139133119.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... umah-terbuka-hangus |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|