|
ANWAR Ibrahim (kiri) bermesra bersama Luqman dan anaknya Aisha dan Alisa ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri. FOTO Azrul Edham
Seremban: Selepas beberapa kali proses mendapatkan kunci tertangguh, pembeli projek apartmen Seremban Sentral PR1MA di Jalan Rasah, di sini, meluahkan rasa lega susulan jaminan Perdana Menteri kediaman itu akan dapat diduduki mulai 1 Jun ini.
Pekerja swasta, Loh Chee Kwan, 46, berkata, perkara paling melegakan apabila dia tidak lagi perlu menanggung bayaran bulanan dua rumah yang terpaksa dilakukan ketika ini.
"Rata-rata pembeli projek ini adalah daripada golongan yang sederhana atau susah kerana ia salah satu kelayakan untuk membeli rumah ini. Ia lebih menyusahkan apabila perlu membayar rumah sewa dan bayaran bulanan rumah PR1MA ini.
"Saya sangat berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kerana projek ini mendapat perhatian Perdana Menteri. Jika ia mendapat jaminan daripada beliau sendiri, saya akan pegang kata-katanya," katanya tadi.
Di sebalik kegembiraan dan kelegaan yang diluahkan pembeli, Loh berkata, timbul beberapa persoalan bagaimana projek itu boleh dimasuki pada 1 Jun, sedangkan laporan yang diterima pembeli, ia agak mustahil untuk dilakukan.
"Kami tidak melihatnya sendiri dan hanya mendapat laporan daripada pemaju. Selepas projek ini mendapat liputan di media sebelum ini, kami mendapat laporan kemajuan pembangunan dan apa yang berlaku setiap bulan.
"Pada 18 April lalu, pemaju melaporkan kepada kami Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) akan diperolehi pada 31 Mei. Jika itu berlaku, ia sekurang-kurang memakan masa selama sebulan sebelum rumah ini boleh dimasuki.
"Selain itu, pemaju juga melaporkan masih terdapat 750 unit yang sedang dibaiki selain beberapa pembaikan fizikal lain. Itu laporan yang kami terima, namun dengan jaminan diberikan perdana menteri ini, kami yakin ia dapat dilaksanakan," katanya.
Penjawat awam, Hafis Haririe Paisal, 32, berkata, pihak pemaju tidak memberikan apa-apa maklumat mengenai proses kemasukan ke kediaman berkenaan, namun berita yang disampaikan ini agak mengejutkan.
"Sebelum ini pemaju akan memberikan perkembangan semasa kepada kami, tiada pula berita rumah sudah boleh dimasuki mulai Jun. Tapi tidak sangka pula Perdana Menteri membuat 'suprise' (kejutan) untuk kami.
"Berita mengenai kemasukan ini juga belum diketahui mana-mana ahli (ketika dihubungi) kerana kebiasaannya kami akan berbincang di dalam kumpulan WhatsApp atau Telegram.
"Apa-apa ia berita yang gembira. Saya membeli rumah ini pada 2020 dan mula membuat bayaran bulanan sebanyak RM1,320 sebulan bermula Januari lalu selain perlu menanggung sewa rumah, jadi sedikit lega dari segi kewangan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan seramai 891 pemilik kediaman Perumahan 1Malaysia (PR1MA) Residensi Seremban Sentral yang sebelum ini membantah tindakan pemaju gagal menyerahkan kunci biarpun kediaman sudah siap akan mula memasuki kediaman itu mulai 1 Jun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan itu di Seremban semalam, berkata, kelewatan kemasukan itu adalah disebabkan perbalahan panjang antara pihak Perbadanan PR1MA Malaysia dan pemilik tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -rumah-terbengkalai |
|