Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor melawat keadaan flat kos rendah di Taman Ungku Tun Aminah - Foto NSTP/Mary Victoria Dass
JOHOR BAHRU: Lebih 50 peratus daripada flat kos rendah berusia kira-kira 30 hingga 40 tahun di negeri ini berada dalam kategori uzur dengan pelbagai masalah penyelenggaraan seperti yang dizahirkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan khas untuk menyelenggara flat awam yang bermasalah.
Beliau berkata, selain isu kebersihan, antara masalah lain dihadapi termasuk kebocoran bumbung, sistem pendawaian dan perpaipan.
Menurutnya, flat kos rendah atau flat awam ini berbeza dengan Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Rumah Sewa Kerajaan (RSK) yang memiliki peruntukan khas kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Katanya, di seluruh Johor, terdapat lebih 100 projek flat awam dan mengikut data 100 daripadanya terletak dalam kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB); Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP); Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) serta Majlis Perbandaran Kulai (MPkU).
"Daripada jumlah itu, boleh dikatakan lebih 50 peratus daripadanya berada dalam kategori seperti dititahkan Sultan Johor," katanya.
|