|
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas berhadapan pertuduhan baru berkaitan amang seksual remaja bawah umur. FOTO Alias Abd Rani
Muar: "Ini pertuduhan baru ke? Kes bila tu?" Itu reaksi seorang mekanik berkaitan pertuduhan baru dihadapinya membabitkan kes amang seksual fizikal terhadap remaja bawah umur, tiga tahun lalu.
Tertuduh yang kini berusia 21 tahun sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan dilakukan di Batu Pahat pada 2020, sekali lagi didakwa Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan sama.
Pertuduhan baru itu juga membabitkan amang seksual fizikal terhadap individu sama yang juga kenalannya yang berusia 13 tahun ketika itu.
Bagaimanapun, tertuduh yang memakai baju jingga mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Udang, Melaka sejak November tahun lalu, didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah kompleks di Sungai Balang, dekat sini antara jam 8 hingga 9 malam, 10 Ogos 2020.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Danial juga memberitahu mahkamah bahawa tiada jaminan diberikan memandangkan tertuduh sedang menjalani hukuman penjara.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 Julai ini bagi sebutan semula kes, lantikan peguam dan serahan dokumen.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/06/980289/kes-bila-tu |
|