|
Pasir Gudang: Sejak sembilan tahun lalu, seramai 130 penduduk Kampung Orang Asli Seletar, Kampung Pasir Putih di sini, berdepan dengan ketiadaan bekalan air bersih ke kediaman masing-masing.
Situasi semakin buruk sejak tiga bulan lalu apabila satu-satunya bekalan air paip yang disalurkan ke rumah Tok Batin, Entel Burok juga semakin mengering dan tekanan air rendah.
Awie Anak Gunung, 44, berkata kini sebahagian besar penduduk kampung terpaksa mandi di tepi kawasan belukar paya bakau iaitu kira-kira 30 meter dari kediaman mereka.
"Sejak dipindahkan ke sini sembilan tahun lalu kami berhadapan dengan masalah air. Dari rumah Tok Batin itu kami guna paip untuk disalurkan ke 14 buah rumah berdekatan tetapi air kecil dan akhirnya tiada sejak tiga bulan lalu.
"Keadaan itu menyebabkan kami perlu ke kawasan belukar (sambungan paip) untuk menadah air bersih. Di sinilah kami tadah air untuk kegunaan masak, mandi, cuci baju, cuci pinggan mangkuk dan sebagainya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
PENDUDUK Orang Asli Seletar di Kampung Pasir Puteh di sini mandi di kawasan belukar paya bakau yang terdapat satu-satunya sumber air bersih di kampung terbabit. FOTO OMAR AHMAD
Jelas Awie, pihaknya menerusi Tok Batin sudah membuat surat Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Johor (JAKOA) dan Pejabat Menteri Besar sejak 2013 hingga 2016 untuk memohon bekalan air bersih.
Bagi nelayan yang juga penduduk kampung, Kamal Entel, 41, berkata, penduduk terpaksa mengangkut air menggunakan baldi dan botol lebih tiga kali sehari untuk mendapatkan bekalan air bagi kegunaan harian.
"Masalah air sudah lama, air semakin kurang, dengan musim panas dan kemarau memang kami perlukan air. Sehari tiada air pun susah, kami berhadapan situasi ini sudah tiga bulan, sehingga terpaksa membeli air bersih diluar untuk memasak.
"Saya balik dari laut biasa dalam jam 3 pagi, pastinya hendak mandi jadi kami terpaksa pergi tepi belukar ini (satu-satunya paip air yang ada membekalkan air bersih).
"Di kawasan belukar itu pastinya gelap, kami tentunya bimbang dengan keselamatan, kehadiran haiwan berbisa seperti ular dan lipan. Tetapi kami tiada pilihan kerana itulah sumber air yang ada,"katanya.
Sementara itu, Entel, 77, ketika ditemui meohon JAKOA dan kerajaan negeri segera mencari penyelesaian masalah tersebut
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ndi-kawasan-belukar |
|