View: 12385|Reply: 0
|
Hobi mahal yang sebenar....'Duit error' paling laku
[Copy link]
|
|
'Duit error' paling laku
AHMAD Khusairi mempamerkan koleksi berharga wang lama miliknya. FOTO AZIAH AZMEE
Kuala Lumpur: Tertarik dengan wang lama dihadiahkan pelancong menjadi titik permulaan Ahmad Khusairi Md Halim, 33, aktif mengumpul mata wang lama yang dijadikan hobi dan pendapatan utama.
Bekas graduan bidang kewangan Islam itu berkata, dia tidak pernah menyesal meminati hobi berkenaan kerana mendatangkan pulangan lumayan.
"Saya pernah beli wang lama, 10 dolar wang Malaya 1961 yang mempunyai gambar kerbau pada harga RM14,000 sekitar 2021. Tidak lama selepas itu, saya mendapat tawaran individu yang sanggup membelinya pada harga RM16,500.
"Syiling lama paling mahal pernah saya beli berharga RM4,000. Selepas disimpan beberapa bulan, ada pengumpul duit dari Singapura menawarkan harga RM14,000 sebelum saya menjualnya.
"Individu itu sanggup membayar mahal kerana syiling lama itu adalah edisi terhad yang hanya terdapat 30,000 keping," katanya.
Ahmad Khusairi berkata, dia mengumpul wang lama selepas seorang pelancong memberikan upah ketika dia bekerja sambilan di sebuah hotel di ibu negara ketika berusia 22 tahun.
"Pelanggan itu memberikan saya tip wang lama, RM10 keluaran 1980-an. Apabila saya mengalami masalah kewangan ketika pengajian, saya jual wang itu di sebuah kedai duit lama di ibu kota sebelum memperoleh RM80.
"Selepas mempelajari jenis wang kertas dan syiling 'diburu' pengumpul duit lama, saya menukar duit simpanan saya RM200 kepada syiling di bank.
"Kemudian saya mencari syiling mengikut tahun dikehendaki pengumpul dan hasilnya saya mendapat untung RM100," katanya.
Sejak itu, katanya, dia terus menjadikan aktiviti berkenaan sebagai hobi dan pendapatan tetapnya.
"Urusan jual beli banyak dilakukan dalam talian dan sesekali saya turun bertemu pelanggan di sekitar Kuala Lumpur.
"Saya hanya mula mengiklankan jual beli duit lama ini di TikTok pada Ramadan lalu sebelum membuka kedai fizikal di Donwtown Cheras, Tasik Permaisuri," katanya.
Ahmad Khusairi berkata, kebanyakan koleksinya diperoleh daripada beberapa sumber termasuk rakan pengumpul dan peniaga, orang awam, acara lelongan serta pencarian di luar negara.
"Dalam setahun saya juga kerap turun ke Singapura dan Hong Kong untuk acara besar yang menghimpunkan pengumpul Asia.
"Sebenarnya wang lama kita turut berada di Hong Kong dan Singapura kerana mungkin mereka pernah datang ke Malaysia dan simpan wang itu untuk dijadikan koleksi.
"Biasanya jika ada wang tertentu yang belum diperoleh, saya sanggup beli daripada mereka kerana mahu menjadikannya koleksi berikutan ia antara aset negara kita," katanya.
Menurutnya, ramai orang keliru dan menyangkakan semakin lama wang itu dicetak, semakin tinggi nilainya sedangkan yang menentukan harga duit lama sebenar adalah kuantiti terhad dicetak.
"Semakin sedikit duit itu dicetak Bank Negara Malaysia (BNM), semakin tinggi permintaan daripada pengumpul dan semakin mahal harganya.
"Ada juga wang tertentu menjadi buruan pengumpul disebabkan kesilapan semasa proses pencetakan yang dikenali sebagai duit error dalam kalangan pengumpul.
"Antara kesilapan cetakan syiling adalah bahan material lain atau kerosakan lain semasa proses pencetakan dan untuk wang kertas biasanya kehabisan dakwat, salah potong serta nombor siri duit tidak sama," katanya.
'Waspada content scammer di TikTok'
Sekadar mahu meningkatkan rating tontonan kandungan (content) media sosial dan mengaut untung atas angin.
Itu taktik penipuan berleluasa di TikTok bagi memperdaya orang ramai dengan menawarkan iklan wang lama palsu.
Mendedahkan perkara itu, peniaga dan pengumpul wang lama, Ahmad Khusairi Md Halim berkata, orang ramai jangan mudah terpedaya dengan pelbagai taktik penipuan untuk mengelirukan dan memerangkap mangsa.
"Banyak iklan di TikTok menawarkan harga tidak masuk akal untuk wang lama yang tidak berharga. Kemudian mereka sukar dihubungi kerana tidak meletakkan maklumat lengkap seperti nombor telefon dan sebagainya.
"Taktik ini hanya mahu menarik perhatian audien demi meningkatkan 'view' mereka dan sebenarnya mereka tiada pengetahuan pun mengenai koleksi mata wang," katanya.
Katanya, taktik penipuan seterusnya ialah dengan meminta maklumat peribadi termasuk akaun bank dan emel semasa urusan jual beli.
"Apabila mangsa melakukan pemindahan wang, mereka hantar emel palsu mengatakan wang itu dalam proses.
"Jadi sekali lagi, mereka menghantar emel meminta sejumlah wang kononnya bagi mengaktifkan urus niaga yang sebenarnya tidak wujud," katanya.
Ahmad Khusairi berkata, orang ramai juga perlu berwaspada dengan pihak yang menawarkan barangan palsu.
"Jika sasaran dia pengumpul atau pembeli wang lama, dia menawarkan wang lama palsu.
"Bagi mereka yang mengetahui selok-belok wang lama, pasti mudah mengesan penipuan, tetapi bagi mangsa tiada pengetahuan khusus, sudah tentu dia tidak tahu wang lama diterimanya itu palsu dan tidak bernilai," katanya.
Sementara itu, Pakar Numismatik Malaysia, Dickson Niew mengakui menerima 10 panggilan sehari sejak awal tahun lalu.
Katanya, kebanyakan daripada mereka ialah orang awam yang mahu menjual wang lama tidak bernilai gara-gara terpedaya dengan iklan di TikTok.
"Kebanyakan panggilan datang dari jauh seperti Johor, Pulau Pinang, Pahang, Sabah serta Sarawak, dan mereka mahu pos barang jika dapat harga tinggi.
"Malah, ada yang sanggup nak datang sedangkan semua mereka tawarkan tak bernilai contohnya satu sen dicetak tahun 1988 hingga 2007, saya jual pn 100 keping RM2 begitu juga dengan 20 sen tahun 1988, saya jual hanya RM5 saja.
"Tetapi, orang ramai tetap berkeras mahu jual harga RM200 ke RM300 kerana mereka nampak ada iklan tawarkan harga itu dalam TikTok," katanya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/ ... t-error-paling-laku
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|