|
Tiga beradik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merompak. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kota Bharu: Tiga beradik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merompak empat mangsa termasuk dengan bersenjatakan kapak dalam empat kejadian antara 24 April tahun ini hingga 17 Julai lalu.
Semua tertuduh, Wan Ahamad Syakir Idaham Mohd Noor, 19, yang bekerja sebagai buruh, Wan Mohamad Amirul Aizzat, 23, dan Che Aliff Afendi, 36, masing-masing penganggur mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Wan Mohamad Amirul Aizzat didakwa melakukan rompakan terhadap seorang wanita berusia 19 tahun iaitu mengambil wang RM1,400 di Kampung Kok Lanas di sini, 8 pagi, pada 24 April lalu.
Manakala Che Aliff Afendi didakwa merompak seorang wanita berusia 40 tahun dengan bersenjatakan kapak sehingga mendatangkan kerugian RM159 di sebuah kedai di Jalan Kuala Krai Batu 11, Kadok di sini, 1.35 tengah hari, pada 14 Julai 2023.
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK), dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu Wan Ahamad Syakir Idaham didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas merompak dan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun antara 8.30 pagi hingga 9 pagi, pada 15 Julai 2023.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 394 KK yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Wan Ahamad Syakir Idaham dan Che Aliff Afendi juga didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan kapak terhadap dua mangsa berusia 20 dan 40 tahun di sebuah kedai di Jalan Kuala Krai Batu 11, Kadok, 6.30 petang, pada 17 Julai 2023.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 395 KK dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua puluh tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin, manakala tiga beradik itu tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Abu Arsalna tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh, manakala tertuduh mahu melantik peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ik-didakwa-merompak |
|