Seorang wanita warga emas ditemui rentung di atas katil dalam kebakaran di sebuah pusat jagaan di Seksyen 5, Petaling Jaya, tengah malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.13 tengah malam.
Kebakaran melibatkan sebuah pusat jagaan warga emas dengan jenis bangunan struktur kelas A melibatkan kemusnahan 30 peratus. - Foto JBPM Selangor
Berikutan itu, 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan sebuah pusat jagaan warga emas berkeluasan 50 x 100 kaki persegi, jenis bangunan struktur kelas A, melibatkan kemusnahan 30 peratus daripada keluasan keseluruhan bangunan.
"Semasa kejadian, terdapat 14 penghuni termasuk penjaga yang telah bertindak menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan.
"Namun terdapat seorang mangsa wanita warga emas berusia 69 tahun, ditemukan rentung di atas katil di sebuah bilik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Foto JBPM Selangor
Mengulas lanjut, Wan Md Razali berkata, kebakaran berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum jentera bomba sampai ke lokasi.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"unca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," ujarnya.
Sumber: AWANI |