|
JAMBATAN kereta api menjadi laluan alternatif sekiranya penduduk terpaksa keluar apabila jambatan yang menjadi laluan masuk ke Kampung Batu 6 ditenggalami air Sungai Nenggir. FOTO Paya Linda Yahya
Gua Musang: Lebih 200 penduduk Kampung Batu 6, di sini, terputus hubungan apabila jambatan utama yang menjadi laluan masuk ke perkampungan itu dilimpahi air Sungai Nenggiri, pagi tadi, berikutan hujan lebat.
Air naik sejak 4 pagi sehingga menyebabkan penduduk sukar keluar menghantar anak ke sekolah.
Tinjauan mendapati untuk minggu ini sahaja empat kali air merentasi jambatan berkenaan sehingga menyukarkan penduduk keluar masuk ke perkampungan itu.
Walaupun terdapat laluan lain, iaitu jambatan kereta api, namun ia sangat berisiko kerana jalan licin selepas hujan.
Penduduk, Suzili Sulaiman, 47, berkata hujan lebat yang berlaku setiap hari pada waktu petang sehingga tengah malam menyebabkan jambatan itu ditenggelami air.
"Air akan melimpah sehingga merentasi jambatan, jadi kami tidak dapat menghantar anak ke sekolah dan perlu menunggu air surut untuk keluar termasuk ke tempat kerja.
"Malah, untuk minggu ini sahaja sudah tiga kali kejadian ini berlaku dan hari ini adalah kali keempat.Walaupun ada jalan lain iaitu jambatan kereta api, namun ia sangat berisiko untuk membonceng anak ke sekolah," katanya ketika ditemui di Kampung Batu 6, di sini.
Seorang lagi penduduk, Rozi Ismail, 69, berkata lebih 200 penduduk di kawasan itu terpaksa berhadapan masalah yang sama hampir setiap tahun.
"Pernah ada perancangan membina jambatan baharu, namun sehingga kini nampaknya masih belum ada apa-apa.
"Saya harap pihak berwajib dapat mempercepatkan pembinaan jambatan yang dijanjikan bagi keselesaan penduduk di kawasan ini.
"Sampai bila kami ingin berhadapan dengan masalah yang sama dan apabila menjelang musim hujan kami terpaksa menyediakan bekalan makanan kerana dibimbangi terputus hubungan untuk keluar membeli keperluan asas," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... k-terputus-hubungan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|