|
SURAYA dan anak-anaknya yang tinggal dalam keadaan serba kekurangan. FOTO ihsan Ab Hamid Othman
Kota Bharu: Hanya dapat menjamah nasi goreng kosong untuk mengalas perut dan menunggu masa diusir keluar dari rumah sewa.
Itu nasib orang kurang upaya (OKU) fizikal, Ab Hamid Othman, 49, isteri, Suraya Hassan, 40, dan lima anak mereka yang berumur lima hingga 18 tahun akibat kesempitan hidup.
Ab Hamid yang menetap di Kampung Jaya Setia, Pantai Cahaya Bulan, di sini, berkata, kecacatan tangan dialami menyebabkan dia tidak dapat bekerja dan hanya bergantung kepada elaun bulanan sebanyak RM450 sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Manakala, isterinya perlu menjaga bapa mentuanya yang sakit menyebabkan dia tidak dapat bekerja dan membuatkan mereka sekeluarga hilang punca pendapatan.
"Empat anak kami pula masih bersekolah, jadi memang tak cukup kalau nak harapkan elaun bulanan diterima saja.
"Jangan kata nak makan, bayar rumah sewa pun tak mampu. Tuan rumah beri masa sampai akhir bulan ini saja dan jika tak bayar tunggakan, kami kena siap sedia untuk angkat kaki.
"Nak menangis tengok anak tahan lapar kerana sejak kelmarin, saya mampu beri anak makan nasi goreng kosong saja dan itu pun makan sekali sehari.
"Tak tahu sampai bila mampu bertahan dan kasihan juga kerana anak tak dapat ke sekolah kerana saya tiada duit nak isi minyak motosikal untuk hantar mereka," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Lebih menyedihkan Ab Hamid apabila tidak dapat menyediakan pendaftaran buat anak sulungnya, Muhammad Zikri Halim, 18, yang ditawarkan menyambung pengajian peringkat sijil Teknologi Kejuruteraan Fabrikasi Struktur di Institut Kemahiran Mara (IKM) Bintulu, Sarawak.
"Anak sulung saya dapat peluang belajar dan sepatutnya melapor diri pada 24 Julai lalu.
"Bagaimanapun, saya tak mampu nak sediakan wang sebanyak RM340 sebagai bayaran untuknya mendaftar masuk ke institusi pengajian.
"Memang sedih apabila mengenangkannya kerana itu peluang untuk dia timba ilmu seterusnya bekerja bagi mengubah nasib sekeluarga namun apakan daya, bukan rezekinya," katanya.
Ab Hamid mengaku malu untuk meminta namun berharap ada yang sudi membantu meringankan bebannya sekeluarga.
"Tak tahu nak minta pada siapa tapi saya merayu ada pihak tampil membantu seikhlas hati mereka kerana saya fikirkan anak saja buat masa ini.
"Kalau mampu dan boleh bekerja, sudah lama saya keluar kerana berat rasanya nak meminta-minta," katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 153038891003 atas nama Ab Hamid Othman atau akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0310029816476094 atas nama Suraya Hassan atau menghubunginya di talian 016-4444950.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... uar-dari-rumah-sewa |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|