|
Satu sindiket yang menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan KPDN, malam tadi. FOTO IHSAN KPDN
Johor Bahru: Intipan selama enam bulan ke atas sebuah premis di Taman Perindustrian Plentong, Masai dekat sini berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi hasil serbuan Ops Tiris Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), malam tadi.
Pemangku Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, premis berkenaan turut mendapati ia beroperasi tanpa lesen.
Katanya, serbuan dijalankan sepasukan penguat kuasa KPDN Putrajaya kira-kira jam 8.10 malam tadi adalah hasil intipan pihaknya selama enam bulan.
"Dalam operasi berkenaan, seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang mengaku sebagai pemandu treler ditahan bagi membantu siasatan.
"Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan turut menemui diesel sebanyak 47,540 liter dan beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyelewengan ini.
"Kita turut merampas lori tangki, dua lori dan satu kenderaan pacuan empat roda bernilai keseluruhan RM267,457 termasuk diesel," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut Armizan, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan mengisi minyak diesel ke dalam beberapa lori di beberapa stesen minyak sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang, Masai dan Kempas sebelum dihantar ke stor haram berkenaan untuk dijual di pasaran.
Katanya, KPDN sudah membuka satu kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti ini.
"Siasatan turut dibuat bagi memastikan rantaian pengedaran minyak diesel itu dan ke mana ia diedarkan," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pesalah yang melakukan aktiviti sedemikian.
Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp di talian 019-279 4317 dan 019-848 8000 atau membuat panggilan ke 1-800-886-800.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... weng-diesel-subsidi |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|