|
Muhammad Daniel Haikal (kanan), Muhammad Ammar Zikry dan Muhammad Anaqi (kiri) mengaku tidak bersalah merogol remaja bawah umur. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Tiga termasuk dua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang kenalan bawah umur pada Julai dan minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Ammar Zikry Mohd Izrak dan Muhammad Anaqi Lukmanulhakim masing-masing berusia 18 tahun serta Muhammad Daniel Haikal Helmi Effero, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Ammar Zikry dan Muhammad Anaqi didakwa merogol kenalan perempuan berusia 12 tahun dalam kebun sawit dekat Sri Gading, Batu Pahat pada jam 11.30 malam.
Berikutan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan iaitu merogol secara berkumpulan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun.
Manakala Muhammad Daniel Haikal didakwa merogol mangsa yang sama di sebuah rumah di Batu Pahat dengan kejadian berlaku pada jam 8.30 malam, pertengahan bulan lalu.
Lepasan sijil kemahiran itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala Muhammad Ammar Zikry diwakili peguam Aqmarul Aqil Ismail.
Bagaimanapun, Aqmarul Aqil Ismail turut mewakili Muhammad Anaqi dan Muhammad Daniel Haikal namun hanya sebagai pro-bono untuk jaminan.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM25,000 terhadap Muhammad Ammar Zikry dan Muhammad Anaqi manakala Muhammad Daniel HaikaL, RM20,000.
Aqmarul Aqil kemudian memohon mahkamah supaya meringankan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh dengan mengambil kira rekod pencapaian akademik dan kokurikulum.
Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Mahkamah juga menetapkan syarat supaya semua tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan serta tidak boleh mengganggu atau berhubung dengan mangsa serta keluarganya.
Jika gagal mematuhi syarat ditetapkan itu, mahkamah memutuskan bahawa jaminan dikenakan terhadap ketiga-tiga tertuduh akan ditarik balik.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ogol-budak-12-tahun |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|