|
Seorang wanita, Chong, 25, (kiri) dan keluarganya hidup dalam ketakutan selepas diganggu dua along dan membuat aduan kepada Ahli Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Johor, Joan Ng (kanan). FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Johor Bahru: Seorang wanita hilang pekerjaan, manakala keluarga terpaksa berpindah rumah selepas diganggu along apabila dikatakan gagal membayar pinjaman yang dibuat awal bulan ini.
Wanita yang hanya dikenali sebagai Chong, 25, berkata gara-gara dia membuat pinjaman sebanyak Singapore Dolar (SGD) 5,000 (RM17,129) pada 1 Ogos lalu, dia dan keluarga terus diganggu along sedangkan daripada jumlah pinjaman dipohon, dia hanya menerima SGD600 (RM2,055).
Bekas penyambut tetamu di sebuah spa di Singapura itu berkata, tujuan dia membuat pinjaman adalah bagi memudahkan urusan dia berpindah ke rumah baharu bersama kakaknya di republik itu dan turut bercadang untuk bercuti ke Taiwan.
"Saya membuat pinjaman kerana ketika itu saya ingin menyewa rumah di sana (Singapura). Oleh kerana perlu membayar deposit dan urusan lain, saya mencari nombor telefon agensi pinjaman wang di Internet sebelum menghubungi satu agensi yang saya fikir mempunyai lesen yang sah.
"Saya kemudian membuat permohonan pinjaman sebanyak SGD5,000 (RM17,129) dan menghantar semua maklumat peribadi diperlukan kepada agensi pinjaman wang di negara itu.
"Saya turut menamakan kakak saya sebagai penjamin atau orang yang boleh dihubungi ketika kecemasan," katanya ketika ditemui dalam satu sidang media di Pejabat MCA Johor di sini, hari ini.
Chong berkata, sehari selepas itu dia memperoleh SGD600 (RM2,055), namun dimaklumkan perlu membuat bayaran 'interest' sebanyak SGD500 (RM1,713) setiap minggu.
Dia kemudian meminta untuk membuat pembatalan pinjaman, namun dipaksa pula membayar caj pembatalan sebanyak SGD1,100 (RM3,768), caj menyelesaikan hutang SGD600 (RM2,055) dan kadar bunga SGD500 (RM1,713).
Takut dengan ugutan diberikan along, Chong kemudian membuat pembayaran seperti diminta, bagaimanapun tetap diganggu malah mengugut untuk mencari keluarganya.
Wanita yang sudah bekerja selama lima tahun di republik itu kemudian bertindak mendapatkan bantuan pinjaman daripada agensi pinjaman wang yang lain bagi menyelesaikan masalah dengan along yang terdahulu.
"Pada 4 Ogos lalu, saya minta bantuan daripada agensi lain dan mereka beritahu sudah menyelesaikan hutang saya dan membayar SGD2,000 (RM6,853) kepada along terbabit.
"Namun, malang bagi saya apabila sekali lagi terjerat dengan along kerana pada keesokan hari, agensi pinjaman wang kedua ini pula meminta saya bayaran SGD4,800 (RM16,449) untuk hutang dan bunga.
"Saya diugut, mereka kata akan ganggu saya jika tidak bayar, maka saya terpaksa buat juga pembayaran itu, namun itulah wang terakhir yang saya ada.
"Dua tiga hari saya terima mesej mereka nak ganggu keluarga saya sampailah pada 7 Ogos, mereka betul-betul menyimbah cat merah pada rumah keluarga saya yang saya duduki.
"Saya beritahu saya sudah tidak ada duit, tetapi mereka masih kacau," katanya.
Sejak berdepan masalah itu, Chong sudah tiga kali membuat laporan polis kepada pihak berkuasa di Singapura, manakala bapanya berusia 56 tahun juga sudah tiga kali membuat laporan polis di sini, selepas kerap diganggu along.
"Pada 11 Ogos lalu, ada orang datang rumah keluarga saya bawa cat dan api, namun dipercayai dia ternampak CCTV (kamera litar tertutup) dan terus melarikan diri.
"Bagaimanapun, ada orang datang lagi ke rumah pada 14 Ogos lalu lalu membakar pagar rumah. Sehingga kini saya dan keluarga terpaksa berpindah rumah kerana hidup dalam ketakutan," katanya.
Anak kedua daripada lima beradik itu juga terpaksa bethenti kerja kerana takut hendak keluar rumah.
Sementara itu, Ahli Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Johor, Joan Ng berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu terhadap mana-mana pihak yang ada meminta wang.
"Saya ingatkan jangan terlalu mudah percaya pada iklan atau sebarang agensi pinjaman wang kerana kebanyakannya adalah sindiket penipuan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... bang-diganggu-along |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|