|
MOHD. Norhan Sheik (kanan) bersama pekerjanya mengasingkan buah durian mengikut gred sebelum dihantar kepada penjual dan pemborong durian. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
JELEBU: Golongan peraih durian di daerah ini mula tidak menang tangan menerima permintaan daripada penjual dan pemborong sejak raja buah itu mula luruh dua minggu lalu.
Seorang peraih durian, Mohd. Norhan Sheik, 33, berkata, dia mula menerima tempahan melebihi satu tan durian sehari itu daripada pelanggan dan pemborong untuk pasaran di ibu negara.
“Sejak dua minggu lalu, saya tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan di tiga lokasi iaitu di sekitar Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Gombak.
“Bagi tempoh sekarang, sekitar daerah ini terutama di kawasan Kampung Chennah mula mengeluarkan durian seperti durian kampung, Teka, durian kahwin, IOI, D24 dan Musang King,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Chennah di sini.
Jelas Mohd. Norhan, dia mempunyai seramai tujuh orang pekerja yang membantunya meraih durian dan masing-masing boleh mendapat sehingga RM200 sehari ketika ini.
“Sekarang ramai mula mencari durian kerana harga borong mulai murah. Jika sebelum ini RM8 hingga RM12 sekilogram namun kini mampu mencecah RM5 sekilogram (harga borong).
“Harga borong durian kampung bermula RM4.50 hingga RM5 sekilogram, D24 (RM12); Teka (RM17-RM21), IOI (RM15-RM19) manakala Musang King pula harga masih tidak menentu,” katanya yang sudah 15 tahun menjadi peraih durian.
Sementara itu bekas Ketua Kampung Chennah, Rosmadi Arif berkata, musim durian masih berterusan di beberapa kawasan di daerah ini sejak Februari lalu.
“Buah agak banyak dan peraih mula ramai dan harga semakin turun.
“Peraih durian tidak sama seperti peniaga lain kerana untung atau rugi pekebun tidak ambil tahu. Apa yang penting buah mereka boleh dipasarkan kerana durian akan luruh agak banyak dalam masa 14 hari ini,” katanya. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... idak-menang-tangan/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|