NAEEMA Mea'bed menyerahkan kucing kepada pelanggan di kafenya. FOTO Reuters
Gaza: Minat mendorong seorang wanita, Naeema Mea'bed membuka kafe kucing MEOW di Gaza minggu ini, dengan harapan dapat membawa kegembiraan dan meningkatkan kesedaran terhadap haiwan berkenaan.
Kafe itu adalah yang pertama seumpamanya di Gaza, dan bertemakan kucing sepenuhnya.
Ia dilengkapi dengan cermin dan pasu bunga, serta ada 14 kucing diletakkan di dalam kafe bagi membolehkan pelanggan dewasa atau kanak-kanak bermain-main dengan haiwan itu.
Ahad lalu, pelanggan dilihat berbaris panjang dan ia mendorong Mea'bed menyediakan lebih banyak meja dan tempat duduk buat keluarga yang membawa anak mereka.
Mereka juga boleh merasai pengalaman bermain dengan kucing pada caj AS$1.30 (kira-kira RM6) bagi setiap setengah jam. Sambil menghirup kopi mereka, ibu bapa boleh memantau anak mereka bermain dengan kucing melalui cermin penghadang.
"Idea ini datang daripada minat saya pada zaman kanak-kanak terhadap kucing dan mahu berkongsi dengan orang ramai
"Kucing adalah antikemurungan semula jadi. Ramai orang suka kucing tetapi mereka tidak tahu di mana untuk menyimpan atau bermain dengannya.
"Jadi saya wujudkan tempat ini untuk supaya mereka (pencinta kucing) boleh datang, bergembira dan menghilangkan tekanan, walaupun hanya lima minit, sebelum pulang dengan senang hati," kata Mea'bed.
Kafe itu menampilkan banyak kucing Parsi, tetapi juga baka lain dan baka hibrid.
|