|
PPR Kempas Permai. FOTO BERNAMA
Johor Bahru: Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai di sini, berharap agar pihak berkuasa dapat membantu menyelesaikan beberapa isu membabitkan infrastruktur asas antaranya longgokan sampah, parkir dan lampu jalan.
Ketua Blok G Seri Bakawali PPR berkenaan, Mohd Fardi Saidin berkata, pihaknya sering menerima aduan mengenai longgokan sampah yang tidak dikutip oleh pihak berkuasa sehingga mengundang bau yang tidak menyenangkan, malah menyebabkan makanan di rumah dihurung lalat.
Mohd Fardi, 38, berkata, antara punca menyebabkan sampah tidak dikutip berhari-hari sehingga menjadi bertimbun kerana kesukaran lori sampah pihak berkuasa untuk masuk ke rumah sampah disebabkan terhalang dengan kenderaan penduduk akibat kekurangan parkir kereta di PPR itu.
"Penduduk di sini pula ramai dan setiap hari pasti ada sampah dibuang, jadi kita amat risau sampah bertimbun itu akan mendatangkan lalat yang banyak, wabak penyakit dan pembiakan haiwan perosak seperti nyamuk aedes dan tikus, malah keadaan bertambah buruk apabila hujan, bau sampah memang meloyakan.
"Berdasarkan jadual kutipan setiap hari sepatutnya ada lori sampah, namun disebabkan parkir kereta yang sedikit menyebabkan penduduk terpaksa meletakkan kenderaan secara bertindih sekali gus menyebabkan laluan lori menjadi sukar dan sempit, dan akibatnya sampah tidak diangkut," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau yang tinggal di PPR itu sejak 2019 berharap wakil rakyat baharu dapat menyelesaikan isu itu termasuk menambah kawasan parkir dan menyediakan laluan khas untuk lori sampah sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk setempat.
Penduduk, Khairul Jasni, 38, berharap tong sampah lebih besar disediakan di rumah sampah bagi menampung sampah yang dibuang oleh penduduk bagi mengelakkan berlakunya lambakan sisa sampah sehingga mengotorkan jalan raya di PPR itu.
"Sekarang ini, ada tiga tong kecil disediakan di rumah sampah, dan ia memang tidak cukup menampung bahan buangan kerana lori sampah akan hadir tiga atau lima hari kemudian. Kita risau, rumah sampah yang kotor boleh memudaratkan kesihatan penduduk di sini," kata bapa enam anak itu.
Nurazilah Rosli yang menetap di PPR itu berharap lampu jalan terutamanya di parkir dan laluan ke rumah sampah dibaiki segera bagi memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin, khususnya pada waktu malam sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
"Sudah berbulan-bulan lampu jalan rosak, dan saya jadi takut untuk ke kawasan parkir pada waktu malam kerana keadaan sangat gelap malah kita juga bimbang dengan kenderaan yang diparkir seperti motosikal dan kereta akan dicuri.
"Bukan itu saja, hampir sebulan penduduk khususnya kanak-kanak takut apabila lampu di ruang kolong tidak berfungsi akibat fius rosak dan tidak dibaiki segera, sedangkan kanak-kanak ini seawal 6.30 pagi sudah menunggu van dan bas untuk pergi sekolah," katanya yang turut menderita sakit buah pinggang sejak enam tahun lalu.
PPR Kempas Permai terletak di Parlimen Pulai yang dibina pada 2003, mempunyai tujuh blok setinggi 17 tingkat dengan keseluruhannya berjumlah 2,252 unit dan sehingga kini, dianggarkan seramai 8,788 penduduk menghuni di perumahan itu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -dapat-diselesaikan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|