|
Keadaan persekitaran PPR Kempas yang gelap pada waktu malam kerana cahaya lampu yang malap dan suram. foto OMAR AHMAD
Johor Bahru: Lampu jalan malap dan suram sejak hampir tujuh tahun lalu menjadikan keadaan persekitaran tujuh blok di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas yang didiami lebih 10,000 penghuni, gelap pada waktu malam.
Penduduk Blok D, Norhafizah Mohamad Noor, 50, berkata, persekitaran gelap itu turut mengundang risiko kemalangan kepada penghuni.
Malah katanya, beberapa kes kecurian motosikal penghuni PPR terbabit turut direkodkan sejak kebelakangan ini.
"Kalau datang waktu siang memang tidak nampak masalah ini kerana lampu jalan memang tersedia. Bagaimanapun, ia malap serta suram, umpama tiada kemudahan itu.
"Pintu masuk utama ke PPR Kempas juga gelap malah saya pernah terbabit kemalangan semasa hendak pulang ke rumah selepas berlanggar dengan motosikal lain kerana keadaan jalan gelap.
"Rasanya hampir tujuh tahun keadaan ini berlarutan. Pernah juga perkara ini diadukan kepada pengurusan kawasan ini," katanya.
Pada masa sama, menurutnya, beberapa kes kecurian motosikal turut direkodkan sejak kebelakangan ini dan kerana itu, penduduk mahukan lampu jalan yang cerah untuk keselamatan dan keselesaan mereka,
Penduduk Blok G, Noriah Md Daud, 43, berkata, selain lampu jalan, masalah longkang dan saluran najis juga perlu diberi perhatian.
Katanya, daripada segi kebersihan blok masing-masing, tiada masalah timbul.
"Bagaimanapun, longkang dan saluran di luar blok yang tersumbat mengundang air bertakung.
"Memang ia akan jadi tempat pembiakan nyamuk. Aras lima ke bawah blok kediaman ini memang banyak nyamuk. Kita perlu guna kelambu untuk tidur," katanya.
Selain itu, katanya, masalah pencemaran bau daripada rumah sampah juga semakin mengundang gelisah penduduk.
"Jumlah penduduk di sini ramai. Kutipan sampah memang mengikut jadual namun ada kalanya lori sampah tidak boleh masuk disebabkan ruang parkir padat.
"Oleh itu, kutipan terpaksa ditunda pada keesokan hari dan ia menyebabkan sampah berbau," katanya yang mengharapkan wakil rakyat dipilih nanti dapat membantu memudahkan urusan penyelesaian masalah penduduk PPR berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Penyelaras PPR Kempas Mohd Suhimi Abdul Rahman berkata, perkara terbabit, termasuk isu kepadatan ruang parkir, perlu diberi perhatian.
"Penduduk turut terbabit dalam gotong-royong bagi membersihkan kawasan tetapi penyelenggaraan berterusan perlu dibuat pihak bertanggungjawab.
"Sebelum ini, timbul masalah sistem perpaipan. Ada perpaipan di rumah penduduk yang bocor tetapi tidak diendahkan menyebabkan mereka terpaksa menumpang rumah saudara.
"Tugasan saya antaranya lebih kepada urusan pertukaran nama waris selain menyelesaikan urusan tunggakan penyewa PPR yang tidak mampu melunaskan bayaran akibat kesempitan hidup selepas kematian pencari nafkah.
"Saya mohon kepada wakil yang dipilih nanti supaya melihat permasalahan di PPR ini. Di sini ramai penduduk dengan setiap blok ada 230 unit rumah," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... alam-undang-musibah |
|