|
Mahkamah Ipoh.
Ipoh: Buruh kontrak dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, bagi dua pertuduhan melakukan ugutan bunuh selain mencederakan ibunya, Ahad lalu.
Tertuduh, V Kumaran, 48, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Majistret S Punitha.
Bagi tuduhan mendatangkan cedera, Kumaran dijatuhkan hukuman lapan bulan penjara manakala bagi pertuduhan melakukan ugutan bunuh, tertuduh dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 28 Ogos lalu.
Berdasarkan fakta kes yang dibacakan dan diakui oleh tertuduh, tertuduh datang ke rumah mangsa untuk meminta duit sebelum mangsa memberitahu hanya mempunyai wang kertas RM50 yang sepatutnya digunakan bagi membeli bekalan makanan.
Tertuduh mengambil wang itu dan hanya mengembalikan baki RM20 kepada mangsa, sebelum memarahi mangsa ketika wanita itu mahu keluar rumah kerana tidak membenarkannya keluar.
Tertuduh kemudiannya menarik mangsa masuk ke dalam rumah sebelum menolak mangsa ke katil dan sekali lagi menolak mangsa hingga jatuh ke lantai dan mencekik leher selain mengacukan gunting ke arah mangsa.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di rumah di Pesara Klebang Jaya 12, Taman Klebang Jaya, Chemor, di sini kira-kira 4 petang 27 Ogos lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... lan-ugut-cedera-ibu |
|