View: 2779|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Pengemis malam
[Copy link]
|
|
PENGEMIS warga asing menggunakan kanak-kanak untuk meraih simpati orang ramai menghulurkan sedekah kepada mereka. FOTO Shahrul M Zain
Kuala Lumpur: Berjubah dan mengenakan kopiah putih, menjual petikan surah dan tisu selain menggunakan kanak-kanak demi menagih simpati orang ramai.
Itu modus operandi segelintir pengemis warga asing dengan imej Islam yang mendekati pelanggan di restoran sekitar ibu negara untuk meminta sedekah.
Dipercayai pengemis ini aktif beroperasi pada waktu malam kerana menganggap ia masa paling sesuai berikutan restoran dikunjungi ramai pelanggan.
Berbanding siang, malam menjadi pilihan kebanyakan warga kota berkumpul bersama keluarga dan rakan bagi menjamu selera selepas seharian sibuk dengan rutin harian.
Tinjauan baru-baru ini, khususnya di Bangsar mendapati golongan pengemis itu tidak segan mendekati pelanggan secara rawak tanpa mengira kaum untuk menagih simpati.
Apa yang membimbangkan adalah imej Islam dibawa sama ada menerusi pakaian, mahupun membacakan petikan ayat suci al-Quran merosakkan kesucian agama syumul.
Terdapat beberapa pelanggan restoran tidak selesa apabila didekati pengemis warga asing ini termasuk kanak-kanak yang meminta wang.
Pelanggan restoran yang hanya mahu dikenali Zaidi, 40-an, berkata, dia kerap melihat kehadiran pengemis warga asing di beberapa restoran dikunjungi sekitar ibu negara.
"Mereka selalu datang waktu malam. Biasanya ada dewasa dan ada kanak-kanak. Pakaian berjubah kemas, bermodalkan tisu dan ayat al-Quran datang kepada pelanggan dan kemudian minta duit.
"Mungkin juga tindakan orang ramai yang sangat pemurah menjadikan kawasan kedai makan sebagai port mereka meraih pendapatan mudah tanpa perlu kerja lain.
"Namun pada masa sama saya melihat ia seolah-olah bukan sahaja mengeksploitasi kanak-kanak, malah lebih teruk jika jadi seperti penunggang agama," katanya.
PENGEMIS warga asing menggunakan kanak-kanak untuk meraih simpati orang ramai menghulurkan sedekah kepada mereka. FOTO Shahrul M Zain
Pekerja swasta, Bakar Ali, 33, berkata, kelibat pengemis itu dilihat hampir setiap hari dan mereka berulang-alik ke beberapa restoran.
Katanya, dia bukan tidak kasihan kepada orang yang meminta sedekah namun kelibat warga asing itu meragukan.
"Contohnya warga asing dewasa, sihat tubuh badan, yang sepatutnya melakukan pekerjaan lain, sebaliknya membawa kanak-kanak untuk mengemis.
"Saya harap kegiatan mengemis ini ditangani pihak berkuasa. Pengemis di Kuala Lumpur khususnya membabitkan warga asing termasuk kanak-kanak semakin berlambak.
"Bukan sahaja di restoran, pengemis warga asing juga kerap ditemui di kaki lima premis," katanya.
Dia juga mengakui pernah beberapa kali terserempak golongan warga asing mengemis di persimpangan lampu isyarat, termasuk ada yang berani mengetuk cermin kereta.
https://www.hmetro.com.my/utama/2023/09/1008496/pengemis-malam |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|