|
AHMAD Fathul Aslam menunjukkan gambar tangan kanannya yang hampir putus. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Kota Bharu: "Saya tidak menyangka pelanggan yang sebelum ini pernah datang ke kedai tergamak mencederakan tangan saya sehingga hampir putus," kata Ahmad Fathul Aslam Nasharudin, 19.
Ahmad Fathul Aslam berkata, dalam kejadian pada 2.30 petang, 6 September lalu, dia yang ketika itu berseorangan di kedai didatangi seorang lelaki yang secara tiba-tiba mengeluarkan pisau dan meminta wang.
Katanya, dia kemudiannya bangun dari kerusi dan berpura-pura mengambil wang dan selepas itu cuba merampas pisau di tangan lelaki berkenaan.
"Pada waktu itu, saya hanya bertawakal kerana sudah nekad tidak akan menyerahkan wang kepada dia.
"Namun saya mengalami kecederaan pada celah ibu jari tangan kanan sehingga putus urat dan tulang kerana pisau disentap lelaki itu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bawah Lembah, Bunut Payung, di sini, hari ini.
Katanya, akibat panik, lelaki itu kemudiannya melarikan diri meninggalkan kedai dan menuju ke arah rakannya yang sedang menunggu di atas motosikal.
"Pada ketika itu, dalam keadaan berlumuran darah saya menjerit meminta tolong, namun lelaki terbabit sudah melarikan diri bersama rakannya," katanya
Anak ketiga daripada sembilan beradik itu berkata, akibat kecederaan yang dialami, dia perlu menjalani pembedahan menyambung kembali urat tangan dan tulang yang patah.
"Selama tiga hari saya dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) sebelum dibenarkan pulang ke rumah semalam," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... mpas-pisau-penyamun |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|