|
Keadaan sekitar kediaman milik Sarwin yang rosak akibat dilanda ribut semalam.
Hulu Langat: Berpuluh rumah di Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang di sini, rosak teruk dan tidak boleh diduduki akibat ribut, semalam.
Tinjauan Harian Metro mendapati puluhan rumah di kampung itu dan kampung bersebelahan rosak akibat dihempap pokok dan ada juga yang bumbung tercabut sepenuhnya.
Difahamkan, angin kencang melanda kawasan itu selama 20 minit bermula 5.30 petang.
Mangsa, Emiyanti Kaban, 50, dan suami Soib Jahan, 58, berkata, angin kuat dan berpusar mengakibatkan sebahagian besar bumbung rumahnya yang didiami bersama anak dan cucu tercabut.
"Angin dan ribut terlalu kuat, berpusing-pusing sampai anak saya berusia 20-an yang sedang duduk di luar rumah seperti terangkat (di udara).
"Saya dari sejak lahir (duduk) di sini dan ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku selepas menetap di sini lebih lima dekad," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Soib berkata, dengan pendapatannya yang melakukan kerja kampung dan isteri sebagai operator kilang, tidak mampu untuk membaiki kerosakan rumah mereka.
Justeru katanya, dia amat berharap ada pihak sudi membaiki kerosakan itu dengan segera.
"Ada (penduduk) yang dah baiki (rumah) sendiri. Kalau mampu tak apa lah, bagi kami yang tak mampu ini macam mana? Kami ada cucu yang masih kecil tinggal di sini.
"Nak tak nak esok saya perlu baiki kerosakan bumbung ini, (jika tidak) macam mana mahu duduk. Tambah lagi sekarang musim hujan air tak henti-henti masuk," katanya.
Sementara itu, Sarwin Dirin, 36, berkata, dia sedang bekerja ketika kejadian berlaku dan bersyukur kerana anak dan isterinya terselamat daripada bencana.
Dia berharap bantuan dapat diberikan kepada dirinya dan keluarga terutama selepas bumbung rumah sewa tercabut sepenuhnya ditiup angin.
"Saya terkejut sebab semasa dapat berita, saya di tempat kerja. Dalam perjalanan pulang dari tempat kerja saya nampak rumah jiran-jiran alami kerosakan tapi tidak teruk.
"Tiba sahaja di depan rumah sendiri, saya terkejut melihat keadaan rumah yang sudah tidak berbumbung, banyak barang berharga rosak," kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.
Sarwin yang bekerja sebagai penyelia di kilang memproses makanan berkata, anggaran kerugian mencecah RM4,000 melibatkan barangan elektronik seperti television, peti ais dan mesin basuh.
Katanya, ketika ini mereka sekeluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan di sebuah surau berhampiran bersama beberapa keluarga lain.
"Dalam masa terdekat ini saya akan cuba cari rumah sewa sementara menunggu tuan rumah membaiki kerosakan akibat ribut semalam.
"Sekarang kami tinggal sementara di PPS dan keadaannya agak selesa dan keperluan semua disediakan dengan cukup, tetapi tak tahu berapa lama kami akan tinggal di situ," katanya.
Sehubungan itu, Sarwin memohon pihak berwajib termasuk wakil rakyat dan Ahli Parlimen supaya menyegerakan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -ribut-rayu-bantuan |
|