|
ABDURRAHMAN (kanan) bergambar bersama adiknya, Abdullah dan ibu saudaranya, Nor Hila ketika berada di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
JOHOR BAHRU – Mangsa yang terselamat dalam nahas meragut enam sekeluarga di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan di sini 1 September lalu, dilaporkan menjalani pembedahan pada rahangnya hari ini.
Perkembangan kesihatan Abdullah Amir Ruddin, 15, dikongsikan ibu saudaranya, Nor Hila Noor dan abang sulung Abdullah, Abdurrahman yang kini mengambil alih menjaganya menerusi TikTok semalam.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Abdurrahman, adiknya itu akan menjalani pembedahan pada rahang muka di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
“Saya kini berada di Hospital Muar, ada ‘appoinment’ (temujanji) adik saya itu, Abdullah ‘operate’ (pembedahan) rahang dia.
“Doktor bagi tahu dekat saya kemungkinan hari esok (hari ini) dia akan di ‘operate’,”katanya dalam video berdurasi 4 minit itu.
Dalam rakaman suara di dalam video yang sama, ibu saudara mereka, Nor Hila memaklumkan telah membuat kebenaran untuk Abdullah dimasukkan ke wad dan menjalani pembedahan tersebut.
“Hari ini (semalam) saya telah membuat kebenaran untuk (Abdullah) dimasukkan ke wad, kemungkinan besar dimasukkan ke kecemasan untuk pembedahan rahang dia.
“Sebab tidak boleh tunggu lama-lama, sudah lebih 20 hari, rahang dia sudah mula mengeras, kena bedah secepat mungkin kalau kita tangguhkan lagi mungkin akan mengambil masa untuk pulih.
“Dia akan susun semula gigi dia, pakai pendakap gigi akan makan masa berbulan, jadi saya buat keputusan lakukan secepat yang mungkin,”katanya.
Dalam kemalangan pada pukul 6.37 petang Jumaat 1 September lalu, ibunya, Noorahimah Noor Muhamad, 43, dan bapa, Amir Ruddin Ismail, 46, serta empat adik beradiknya Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, meninggal dunia.
Kejadian berlaku ketika tujuh sekeluarga itu dalam perjalanan dari Ladang Tehel Utara, Kluang ke Felda Kemedak di sini untuk menghantar Noorahimah serta anak-anaknya di sana.
Namun setibanya di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Azla dinaiki bertembung dengan sebuah treler membawa muatan pasir.-KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2023/09 ... da-rahang-hari-ini/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|