View: 3074|Reply: 0
|
[Terengganu]
Damailah Afina Sofea di sana
[Copy link]
|
|
TUAN Nur Afina Sofea meninggal dunia selepas tiga tahun menderita barah saraf. FOTO Nurul Fatihah Sulaini.
Besut: Selepas tiga tahun menderita barah saraf atau neuroblastoma tahap empat, pesakit kanak-kanak, Tuan Nur Afina Sofea Tuan Khalid menghembuskan nafas terakhir tengah malam tadi.
Ibunya, Nor Adibah Ahmad, 42, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu meninggal dunia pada 12.35 tengah malam.
"Petang semalam oksigen Sofea menurun sebelum dia sesak nafas dan dikejarkan ke Hospital Jertih.
"Sofea dimasukkan ke unit kecemasan hospital kira-kira 4 petang dan dipakai alat bantuan pernafasan, namun tidak stabil.
"Doktor kemudian memaklumkan ada tompokan hitam besar dekat hatinya selepas membuat ujian imbasan x-ray, yang menunjukkan kanser sudah merebak ke kawasan itu," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, dia dan keluarga memutuskan untuk membawa pulang Sofea dan tidak mahu ditahan di wad.
"Kami bawa pulang ke rumah di Kampung Nail, Kuala Besut dengan bergantung alat bantuan pernafasan wakaf daripada masjid di sini, tetapi selepas pulang dia seperti sukar tidur dan gelisah," katanya.
Nor Adibah berkata, Sofea juga seperti ingin mengatakan sesuatu kepadanya tetapi tidak terluah.
"Saya beritahu dia 'tak apa jika adik tidak boleh bercakap lagi.. mama sudah pasrah serta reda dengan adik'.
"Dia akhirnya menghembuskan nafas terakhir di sisi saya dan suami," katanya yang memberitahu arwah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Tawar, Kuala Besut kira-kira 2.30 petang tadi.
Kisah Sofea pernah dilapor Harian Metro dengan kanak-kanak itu menyimpan hasrat bergelar ustazah meskipun bertarung dengan kanser saraf yang dihidapi sejak 2020.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... afina-sofea-di-sana |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|