View: 2849|Reply: 0
|
[Johor]
'Aku tak kuat. Aku tak sanggup Ya Allah'
[Copy link]
|
|
Siti Yuana menunjukkan gambar dia bersama arwah yang diambil bulan lalu. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: "Aku tak kuat. Aku tak sanggup Ya Allah. Macam mana nak hadapi semua ini," tangis Siti Yuana Janamin, 44, ibu kepada bakal graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 119, Jalan Tanjung Laboh, Banang Jaya di sini, pagi tadi.
Asniza Adek@che Ahmad, 24, penuntut kejuruteraan pembuatan itu dijangka menerima ijazah pada 22 Oktober ini maut di tempat kejadian akibat digilis lori dalam kejadian jam 8.35 pagi itu.
Ketika kejadian, arwah yang juga anak sulung daripada empat beradik menunggang motosikal dalam perjalanan dari rumahnya di Sri Merlong, Rengit ke tempat kerja di bandar ini.
Menurut Siti Yuana yang bekerja kilang itu, dia menerima panggilan telefon ketika di tempat kerjanya di Rengit memaklumkan Asniza meninggal dunia akibat kemalangan.
"Saya macam tidak percaya apa yang berlaku. Asniza pergi ketika dia bakal menerima ijazah tidak lama lagi. Dia bekerja cari wang untuk ke majlis konvokesyen nanti.
"Arwah seorang yang rajin, kental dan berdikari kerana dia akan mencari apa jua pekerjaan untuk menampung perbelanjaan harian. Dia tidak pernah menyusahkan keluarga malah sayalah tempat dia mengadu masalah dihadapi," katanya.
Siti Yuana berkata, sejak di bangku sekolah menengah, arwah sentiasa berjauhan kerana dia tinggal di asrama sebelum menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Tangkak dan terakhir di UMPSA.
"Sebagai ibu saya masih tidak puas bersamanya. Tapi saya perlu reda dan menerima takdir ini kerana Allah lebih menyayanginya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Sementara itu, adik arwah, Admira, 23, berkata dia mendapat tahu berita kematian kakaknya pada jam 10 pagi.
"Pagi ini kakak keluar rumah agak lewat kerana hujan. Tapi tak sangka pengakhiran kakak seumpama ini.
"Kami teruja mahu menghadiri konvokesyen arwah di UMPSA malah arwah sudah siap semua baju untuk dipakai pada majlis itu nanti.
"Kakak baru tamat latihan Palapes Tentera Udara Diraja Malaysia bulan lalu. Dia cukup bangga dengan kejayaan dikecapi walaupun berdepan pelbagai cabaran," katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa maut selepas motosikal ditunggang merempuh belakang kereta di parkir tepi jalan sebelum digilis lori.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata kemalangan berlaku pada jam 8.30 pagi ketika mangsa, Asniza Adek@Che Ahmad, 24, terlanggar bahagian belakang kereta di parkir di laluan motosikal kerana kerosakan.
Katanya, mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayat dibawa ke HSNI untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis memohon kerjasama orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil membantu siasatan atau menghubungi mana-mana balai berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ak-sanggup-ya-allah |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|