|
KDN wartakan larangan penerbitan buku ‘When I Was A Kid 3’.
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan buku 'When I Was A Kid 3'.
Perintah terhadap buku tulisan Cheeming Boey itu dibuat melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 283 bertarikh 25 September 2023.
KDN memaklumkan, pewartaan perintah larangan itu adalah selaras peruntukan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
"Ia menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.
KDN berkata, kerajaan menyatakan komitmen berterusan dalam melaksanakan tindakan kawal selia penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman dan gerakan bercanggah dengan sosiobudaya tempatan yang boleh mengancam keharmonian dan perpaduan nasional demi kesejahteraan bersama.
Justeru, hasil penerbitan terbabit dikenakan tindakan perintah larangan kerana memudaratkan atau mungkin memudaratkan moral, kepentingan awam, dan kepentingan negara dengan menimbulkan kebimbangan dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.
Mengikut peruntukan Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa juga maksud, adalah melakukan kesalahan dan boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
KDN sebelum ini mengharamkan penjualan novel grafik berkenaan susulan bantahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indonesia.
Buku ditulis pada 2014 oleh penulis Malaysia yang lahir di Singapura dikenali sebagai Cheeming Boey, 45, yang kini menetap di Amerika Syarikat itu, menceritakan mengenai zaman kanak-kanaknya.
Bagaimanapun, Jun lalu, beberapa rakyat Indonesia yang diketuai NGO Corong Rakyat mengadakan bantahan di luar Kedutaan Malaysia di Jakarta terhadap penerbitan buku itu.
Mereka mendakwa satu daripada petikan dalam buku terbabit menceritakan mengenai seorang pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja di Malaysia dan dikritik secara tidak adil.
https://www.bharian.com.my/berit ... ku-when-i-was-kid-3 |
|