|
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan lawatan kerja di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar Johor. NSTP/Nur Aisyah Mazalan
JOHOR BAHRU: Kerajaan Pusat memperuntukkan RM168.7 juta bagi melaksanakan empat inisiatif baharu bagi menangani kesesakan di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pelaksanaan empat inisiatif yang akan dijalankan menerusi Fasa 3 itu merangkumi tiga projek fizikal, selain pemberian insentif pintu masuk kepada pegawai Imigresen pelbagai gred yang bertugas di pintu masuk negeri ini.
Beliau berkata, pemberian insentif kepada pegawai Imigresen itu akan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM7.93 juta setahun.
"Peruntukan RM168.7 juta itu termasuk untuk membina tambahan 77 laluan M-BIKE dengan kos keseluruhan sebanyak RM61.7 juta merangkumi 44 laluan M-BIKE di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di Tambak Johor dan 33 laluan M-BIKE di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri.
"Ia juga membabitkan penggabungan dewan, naik taraf dan pembinaan projek baharu di KSAB berjumlah RM106.9 juta membabitkan tiga projek Fasa 2 yang telah diluluskan Mac lalu.
"Pembinaan pejalan kaki berbumbung di sepanjang Tambak Johor juga akan dilaksanakan dengan anggaran kos yang akan diperincikan kemudian.
"Pemberian insentif pintu masuk kepada pegawai Imigresen pelbagai gred bukan sahaja akan diberikan kepada pegawai bertugas di pintu masuk di BSI dan KSAB, malah turut membabitkan pegawai bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) dan KLIA2," katanya pada sidang media secara dalam talian di BSI, di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) BSI, di sini.
Mereka kemudian menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikan Fadillah secara dalam talian.
Mengenai insentif pintu masuk kepada pegawai Imigresen, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, inisiatif itu adalah untuk menjaga kebajikan anggota dan selari dengan konsep Ihsan di bawah kerangka Malaysia Madani.
"Perbincangan lanjut akan diadakan bagi memperhalusi perkara ini bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk perluasan pemberian insentif kepada pegawai Imigresen di Sabah dan Sarawak," katanya.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, jumlah pengembara yang memasuki negara ini di laluan darat Malaysia-Singapura dijangka meningkat pada kadar 15 peratus setahun.
Katanya, dianggarkan seramai 157 juta pengembara akan melalui kedua-dua pintu masuk di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura di Iskandar Puteri, menjelang 2025.
"Ini berdasarkan statistik, jumlah pengembara di kedua-dua CIQ BSI dan KSAB adalah seramai 71 juta pada tahun lalu.
"Bilangan ini adalah berdasarkan cerapan data yang diambil selepas pintu masuk negara dibuka semula pada 1 April 2022.
"Namun, sehingga September lalu, jumlah pengembara di kedua-dua CIQ berkenaan telah mencapai jumlah 98 juta dan dijangka terus meningkat kepada sekitar 136 juta pada penghujung tahun ini iaitu menyamai statistik pada 2019 (pra COVID-19)," katanya.
Beliau berkata, mengambil kira kekurangan anggota Imigresen yang bertugas di kaunter manual, keperluan kepada 'autogate' amat membantu dalam menangani peningkatan pengembara khususnya pada waktu puncak.
https://www.bharian.com.my/berit ... -malaysia-singapura |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|