View: 582|Reply: 0
|
[Johor]
Kebun komuniti bantu berjimat
[Copy link]
|
|
AHMADON menunjukkan hasil sayur bendi yang ditanam. FOTO Omar Ahmad
Johor Bahru: Peningkatan kos bahan mentah dan harga beberapa jenis sayuran yang tidak menentu ternyata memberi kesan kepada penduduk khususnya di bandar.
Faktor tiada tanah di kawasan bandar mungkin menyebabkan penduduk tidak dapat bercucuk tanam dan berkira-kira mahu membeli sayuran.
Namun inisiatif komuniti setempat termasuk dalam kawasan taman perumahan dan rumah pangsa, mewujudkan kebun komuniti ternyata memberi impak positif dari sudut mengurangkan kos sara hidup.
Perkara itu diakui Ketua Kebun Komuniti Rumah Pangsa Permas Jaya 7, Ahmadon Aziz, 58 yang sudah bercucuk tanam pelbagai jenis tanaman sejak 2017.
Katanya, kebun komuniti itu adalah satu-satunya di Johor yang dilaksana dengan kerjasama pengurusan strata di bawah Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Katanya, pihak pengurusan membenarkan tanah seluas 3.7 x 11.1 meter persegi yang terletak berdekatan tempat letak kereta digunakan sebagai kebun komuniti.
"Melihat potensi kebun sayuran ini, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memberi peruntukan dari segi barangan keperluan.
"Kita bermula dengan menanam 250 pokok cili besar menggunakan kaedah fertigasi dan mengambil masa sembilan bulan untuk mendapatkan hasil.
"Selepas itu kita menggunakan konsep tanaman kontan yang mana tempoh masa lebih pendek antara dua hingga tiga bulan seperti jagung dan keledek.
"Hasil tanaman utama ini kita akan jual kepada komuniti sekitar menerusi jualan mega, dengan harga lebih rendah dari pasaran dan wang itu akan digunakan sebagai pusingan modal bagi membeli anak pokok atau benih seterusnya.
"Kebun ini juga kita tanam, tanaman sampingan lain untuk kegunaan dapur seperti pokok kari, pandan, kesum, kunyit, cekur, pucuk manis, kacang botol, serai, lengkuas, pudina dan sirih," katanya.
AHMADON menyembur baja organik dari sisa dapur ke atas anak pokok tembikai yang disemai di Kebun Komuniti Rumah Pangsa Permas Jaya 7. FOTO Omar Ahmad
Ahmadon memaklumkan setiap pusingan, tanaman utama yang akan ditanam terung, bendi, cili padi atau jagung.
Katanya, tanaman utama akan dijual kepada ahli dan komuniti, manakala tanaman lain boleh diambil tanpa bayaran.
"Kami ada 17 ahli dalam kawasan ini yang menguruskan kebun komuniti, sebelum ini saya ada buat jadual waktu menjaga kebun termasuk menyiram, membaja dan membersihkan kebun.
"Tetapi mereka lebih gemar datang tanpa mengira masa kerana seronok bercucuk taman. Sebenarnya seronok berbakti pada tanah ini, hasilnya juga boleh dijual dan digunakan.
"Tanaman utama terpaksa dijual kerana kami tiada peruntukkan, sekiranya tidak dijual kami akan terputus kewangan untuk membeli anak pokok atau biji benih bagi pusingan tanaman yang akan datang," katanya yang merancang untuk membuka kebun komuniti sebagai tarikan lawatan pelajar dan orang awam.
POKOK daun kesum boleh diambil jika mahu digunakan penduduk setempat manakala hasil pokok utama dijual untuk dibuat modal menanam semula. FOTO Omar Ahmad
Sementara itu, bagi Penasihat Kebun Kejiranan Hidayah 5/10 Permas Jaya, Muhamad Zan Ebil, 61, yang sudah bersara melihat potensi kebun komuniti ini lebih kepada aktiviti menyihatkan tubuh badan warga bandar raya.
Katanya, dengan keluasan kebun 4.6 meter persegi, 200 pokok cili ditanam dan hasilnya dipaketkan untuk jualan kepada penduduk sekitar.
"Kebun ini berada depan rumah, jadi setiap pagi dan petang pasti jengah tanaman. Kalau musim tanam semula itu, pokok perlu ditebang dan dibersihkan kebun," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... niti-bantu-berjimat |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|