View: 483|Reply: 0
|
[Terengganu]
Acuan tembaga berusia 100 tahun, hasilkan rantai timah bermutu
[Copy link]
|
|
Ibrahim Yusof, 63, sedang melakukan kerja menyiapkan rantai jala. FOTO NAZDY HARUN
Marang: Berbekalkan acuan tembaga berusia lebih 100 tahun, seorang warga emas gigih menghasilkan rantai jala secara tradisional sejak lebih 40 tahun lalu.
Ibrahim Yusof, 63, yang juga seorang orang kurang upaya (OKU) fizikal dari Kampung Tanah Lot di sini, berkata, dia mempunyai empat acuan untuk membuat rantai jala.
Menurutnya, dua daripada acuan itu diwarisi daripada datuknya yang berusia lebih 100 tahun.
Katanya, rantai jala dihasilkan secara tradisional dengan memasak timah sebelum dimasukkan ke dalam acuan yang membentuk cincin.
"Selepas terbentuknya cincin, proses seterusnya adalah menyambung cincin berkenaan menjadi rantai untuk dipasang pada jala.
"Untuk menyiapkan lima kilogram (kg) rantai jala yang siap dibersih dan boleh dipasang pada jala saya mengambil masa dua hari," katanya yang lebih mesra dipanggil Ayah Ngah dalam kalangan penduduk setempat.
Menurutnya, rantai jala atau cincin jalan yang siap diproses dijual dengan harga RM70 sekilogram dan biasanya untuk seutas jala menggunakan 4.5 hingga 6 kg rantai.
Katanya, kebiasaannya dia hanya membuat rantai jala sahaja namun tidak menolak sekiranya pelanggan menempah untuk mendapatkan seutas jala yang siap untuk digunakan.
Katanya, seutas jala yang siap digunakan biasanya dijual dengan harga RM730 dan dia akan menggunakan timah terpilih sahaja dalam pembuatan rantai jala yang diusahakannya itu.
Ibrahim berkata, timah yang digunakan untuk membuat barangan piuter merupakan timah terbaik dalam menghasilkan rantai jala kerana ketahanan dan warnanya yang lebih menarik.
"Saya menghasilkan empat saiz rantai jala iaitu berukuran satu, satu suku, dua dan satu inci lapan mata rantai bergantung kepada permintaan pelanggan.
"Kekangan utama dalam menghasilkan rantai jala adalah bekalan timah yang berkualiti kerana mutu timah memainkan peranan bagi ketahanan dalam penggunaan seutas jala," katanya.
Menurutnya, arwah datuknya dan ayahnya mempunyai kemahiran dalam membuat rantai jala sebelum diwarisi olehnya.
Katanya, kedudukan rumahnya yang berhampiran Sungai Marang, mendorong arwah datuk dan ayahnya menghasilkan rantai jala kerana masyarakat dahulu menjalankan kerja-kerja berkaitan sungai sebagai sumber pendapatan.
"Alhamdulillah, walaupun rantai jala ini dihasilkan secara tradisional namun permintaannya boleh dikatakan tidak menang tangan.
"Permintaan terhadap rantai jala buatan tradisional ini tinggi dan pelanggan datang dari seluruh Malaysia," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... antai-timah-bermutu |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|