CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 611|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] 'Jejak kasih' empat pengarca

[Copy link]
Post time 19-10-2023 11:13 AM | Show all posts |Read mode

EMPAT pengarca berkumpul semula untuk mengimbau kembali kenangan ketika menjalankan tanggungjawab di Tugu Negara. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: Mungkin tidak ramai yang tahu Tugu Negara tersergam megah di Taman Botani Perdana di sini pernah diletupkan pengganas komunis pada 26 Ogos 1975 sehingga menyebabkan monumen bersejarah itu mengalami kerosakan teruk.

Tugu Negara diilhamkan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj siap dibina pada 1966 bagi memperingati semua perajurit yang gugur dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua serta Darurat melalui proses baik pulih bermula dari 1977.

Kini, selepas hampir 46 tahun berlalu, empat pengarca terlibat dalam projek baik pulih itu berkumpul semula untuk mengimbau kembali kenangan ketika mereka bersama-sama melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Mereka terdiri daripada bekas pensyarah Institut Teknologi Mara (ITM) (kini Universiti Teknologi Mara), Christopher Bartley Carney, 74, bersama tiga lagi lepasan Fakulti Seni Kreatif ITM iaitu Abdul Mansoor Ibrahim, 71, Abdul Mukti Jantan, 73, dan Zolkeply Maulana, 69.

Mengimbau kembali memori itu, Abdul Mukti berkata, projek itu yang mengambil masa setahun satu minggu dan memerlukan kreativiti, kesabaran serta ketekunan kerana terpaksa membaik pulih ratusan serpihan Tugu Negara yang rosak teruk.

Beliau berkata, sebagai contoh, ada bahagian berlubang kena dibaik pulih dengan membentuk bahagian itu semula menggunakan tanah liat, kemudian diubah suai menjadi acuan sementara gangsa tuang yang merupakan logam digunakan bagi pembentukan bahagian patung itu dihasilkan di foundri logam, Lembaga Kraftangan Mara Terengganu.

"Selepas gangsa tuang dihasilkan, barulah proses mengimpal dilakukan dan teknik 'chasing' untuk membentuk tekstur seperti urat pada patung dan teknik ini memerlukan kemahiran supaya apabila siap ia tidak nampak calar-calar," katanya selepas ditemui di Tugu Negara di sini, kelmarin.

Abdul Mukti yang kini menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat berkata selain berdepan dengan cabaran cuaca tidak menentu di lokasi tugu itu yang menjadi tempat kerja sepenuhnya, beliau dan rakan-rakan lain juga ada menerima surat layang dengan ugutan untuk mencederakan mereka.

PROSES baik pulih Tugu Negara mengambil masa setahun satu minggu. FOTO BERNAMA
PROSES baik pulih Tugu Negara mengambil masa setahun satu minggu. FOTO BERNAMA

"Pada zaman itu, bahaya sentiasa ada termasuk ancaman komunis, jadi Pasukan Polis Hutan (kini Pasukan Gerakan Am) sentiasa membuat rondaan bagi melindungi keselamatan kami semasa bekerja kerana ada kerja-kerja yang dilakukan hingga ke malam.

Biarpun dalam bahaya, cinta kami untuk menyempurnakan tugas itu mengatasi bahaya dihadapi dan kita buat dengan rasa bangga dan berbesar hati kerana sesuatu yang diremukkan komunis kami strukturkan semula, buat semuanya sekali lagi," katanya.

Sementara itu, Zolkeply pula berkata penglibatannya dalam membaik pulih Tugu Negara itu turut menjadi kebanggaan dan mendapat galakkan daripada arwah bapanya yang juga seorang anggota pasukan Komando VAT69.

"Apabila bapa saya tahu yang saya terlibat dengan baik pulih Tugu Negara rosak itu, dia buat lawatan mengejut dengan kawan-kawannya untuk melihat sendiri, jadi saya sangat terharu dan teruja. Dia berjuang di hutan, saya 'berjuang' membaik pulih Tugu Negara yang dirosakkan oleh musuhnya," katanya.

Dalam pada itu, Carney berkata penglibatan beliau dalam membaik pulih Tugu Negara meninggalkan memori indah dalam hidupnya kerana binaan tersebut sebahagian sejarah penting negara.

"Ini yang membuatkan hubungan saya dengan Tugu Negara amat istimewa dan inilah tugas paling penting yang pernah saya terlibat," katanya yang kini tinggal di Port Huon, Tasmania, Australia.

Selain melawat kampus lama di Shah Alam, Selangor, empat kenalan itu juga telah diundang oleh pihak Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (GESTURZ) untuk sesi bual bicara dengan penuntut dan pensyarah.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... asih-empat-pengarca
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-1-2025 11:10 PM GMT+8 , Processed in 0.201841 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list