Mohd Jafni (tengah) bertemu peserta Program Publisiti Awal Rancangan Tempatan MBJB. NSTP/OMAR AHMAD
JOHOR BAHRU: Sebanyak 100 unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di kawasan tumpuan dalam 'Greater JB' membabitkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) bermula tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata pemasangan CCTV itu akan menjadikan kawasan di negeri ini lebih mesra pengunjung dan selamat dikunjungi pelancong asing.
"Kita mahu Johor Bahru jadi kawasan paling selesa dan selamat untuk semua orang datang, sebab itu pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), bermula tahun depan, 100 CCTV akan dipasang di kawasan tumpuan pengunjung yang dilengkapi bilik kawalan.
"Pada masa akan datang, sistem ini juga akan disambungkan kepada pihak polis.
"Kerajaan negeri kini dalam proses menambah baik beberapa kawasan tumpuan bagi memberi nilai tambah dan menarik minat pengunjung menjadikan kawasan Johor Bahru sebagai destinasi pelancongan," katanya selepas majlis perasmian Program Publisiti Awal Rancangan Tempatan MBJB, di sini.
Selain pemasangan CCTV, Mohd Jafni berkata, tahap keselamatan di kawasan Johor Bahru juga kini ditambah baik dengan seramai 100 penguat kuasa PBT dilengkapi kamera badan ketika menjalankan tugas.
Katanya keperluan itu akan diperluaskan dan ditambah dari masa ke semasa mengikut keperluan.
"Peranan unit penguat kuasa yang dilengkapi kamera badan ini sangat efisien.
"Sejak dilancarkan awal bulan ini, kita mengeluarkan 2,000 saman dalam bentuk kompaun secara terus kepada individu dan industri yang dikesan melakukan kesalahan," katanya.
|