View: 5834|Reply: 0
|
[Terengganu]
Makan-makan, 'healing' di puncak Bukit Jelutong
[Copy link]
|
|
Gerai menjual pelbagai juadah yang diusahakan Che Wan Nurul Huda Che Wan Yusof, 28, di puncak Bukit Jelutong. FOTO NAZDY HARUN
Kuala Berang: Nasi lemak, keropok lekor, laksa, air kelapa dan kuih antara juadah yang boleh dibeli kaki 'hiking' di puncak Bukit Jelutong, Kampung Kepah dekat sini, sambil menikmati panorama di atas bukit berkenaan.
Che Wan Nurul Huda Che Wan Yusof, 28, berkata, dia mengambil inisiatif berniaga di puncak bukit berkenaan selepas melihat kehadiran ramai individu mendaki hingga ke puncak bukit itu.
Menurutnya, satu hektar kawasan bukit berkenaan termasuk puncak Bukit Jelutong, adalah milik bapanya yang diusahakan dengan tanaman getah.
Katanya, puncak bukit itu menjadi tarikan kaki hiking selepas bapanya memuat naik video di aplikasi TikTok yang memaparkan suasana awam berada di sekeliling puncak bukit itu.
"Selepas tular video berkenaan, orang ramai mula membanjiri puncak bukit ini dan memandang ia menjadi tempat 'healing' saya mengambil keputusan untuk berniaga.
"Bukan berniaga di bawah bukit sebaliknya di puncak bukit yang sememangnya boleh dikatakan 'kerja gila' kerana pelbagai kesukaran perlu ditempuh untuk sampai ke puncak bukit ini.
"Alhamdulillah, orang ramai yang penat mendaki boleh membeli juadah yang saya jual sambil menikmati pemandangan yang indah dari puncak bukit ini," katanya.
Menurutnya, sambutan yang diterima begitu menggalakkan kerana individu yang penat mendaki akan berehat di puncak bukit sambil menikmati juadah yang dibeli dan kemudahan seperti ini mungkin tiada di kawasan hiking lain di negeri ini.
Nurul Huda berkata, dia akan meneruskan jualan di atas bukit itu selagi bukit berkenaan masih menjadi tumpuan pengunjung dan dia melihat dengan kemudahan yang ada mampu menarik lebih ramai pendaki untuk menawan bukit berkenaan.
Seorang pengunjung, Nurdini Anis Najihah Rosnee, 21, pelajar universiti awam di Kuala Nerus berkata, dia tertarik melihat video di TikTok sebelum mengambil keputusan untuk mendaki bukit berkenaan buat pertama kali.
"Ingatkan panorama saja yang menarik, namun lebih menarik ada peniaga di atas bukit ini dan memudahkan pendaki untuk membeli juadah untuk dinikmati ketika sedang berehat di puncak bukit ini.
"Sambil menikmati pemandangan saya bersama rakan boleh makan dan minum setidaknya hilang juga penat serta dahaga kerana beberapa laluan ke puncak bukit ini amat mencabar," katanya.
Menurutnya, inisiatif yang diambil pemilik tanah berkenaan adalah tepat kerana menyediakan kemudahan dalam bentuk gerai menjual makanan selain mempunyai wakaf dan kerusi untuk berehat.
Rakannya, Nurdania Arrisya Ahmad Faizal, 21, berkata, kali pertama menjejakkan kaki ke bukit berkenaan dia teruja melihat pemandangan dari atas bukit itu namun lebih menarik perhatian apabila melihat ada gerai menjual pelbagai juadah dan minuman.
"Satu kelainan yang ada di atas Bukit Jelutong, ini kerana kebiasaan mana-mana kawasan hiking peniaga menjual makanan di bahagian bawah bukit namun di sini sebaliknya pula.
"Amat memudahkan orang ramai apabila ada jualan seperti ini kerana buka semua yang mendaki membawa makanan dan minuman secukupnya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ncak-bukit-jelutong |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|