|
JAM Rolex yang dilelong dengan harga tapak RM40,000 untuk membantu rakyat Palestin. FOTO ihsan FB Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Kuala Lumpur: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melelong jam tangan Rolex kesayangannya dengan harga tapak RM40,000 dan hasil jualan akan didermakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat yang menderita di Palestin.
Zulkifli berkongsi inisiatifnya menerusi hantaran di Facebook (FB) miliknya, hari ini, dan mereka yang berminat untuk membida boleh berbuat demikian di ruangan komen.
Menurutnya, kenaikan bidaan bermula dengan harga RM100 ke atas.
Dalam hantaran sama, Zulkifli turut berkongsi kisah di sebalik jam berkenaan yang dihadiahkan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz.
"Kisahnya bermula pada Februari 2017 apabila saya mendapat panggilan mengejut ketika sedang menghadiri mesyuarat sebagai Panel Penasihat Syariah Bank Negara.
"Saya diminta oleh kerajaan selaku Mufti Wilayah Persekutuan untuk mewakili semua mufti dan ulama Malaysia, menyampaikan ucapan di hadapan Raja Saudi, Raja Salman Abdulaziz dalam kunjungan hormatnya ke Malaysia.
"Beberapa hari selepas majlis berkenaan di St Regis Hotel, saya dihubungi pihak Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia. Ada cenderamata yang dikirimkan daripada Raja Saudi kepada saya. Lantas saya minta pegawai saya Dr Aizam untuk mengambilnya," tulisnya.
Menurut Zulkifli, beliau tidak membuka kotak cenderamata itu selepas menerimanya.
Beliau berkata, cenderamata itu disimpan di pejabatnya di Putrajaya, sehinggalah beliau dilantik sebagai Menteri.
"Semasa saya menjawat jawatan Menteri, kotak itu dipindahkan ke pejabat kedua saya di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur.
"Apabila saya meletakkan jawatan sebagai Menteri pada 2021, kotak dipindahkan ke pejabat peribadi saya.
"Di sana, barulah saya membukanya sebagai tanda penghargaan atas derma kurnia daripada Raja Arab Saudi. Menjunjung kasih Raja Salman Abdulaziz atas derma kurnia yang amat bermakna ini.
"Titah Baginda untuk sentiasa bersederhana, mengutamakan perpaduan ummah dan memartabatkan agama sentiasa akan saya semat dalam hati.
"Dengan menjunjung titah itu dan meraikan kesungguhan kerajaan Arab Saudi menyalurkan sumbangan bilion dollar kepada Palestin saban tahun, saya ingin membuka bidaan jam Rolex kesayangan saya ini dengan harga tapak RM40,000.
"Bidaan ditutup pada 31 Oktober jam 12 tengah malam," tulisnya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... audi-untuk-palestin |
|