CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 893|Reply: 0

[Johor] 'Allah pilih kami'

[Copy link]
Post time 31-10-2023 12:10 PM | Show all posts |Read mode

ZAHID Mohamad bersama isteri, Jameah Rahmat saling memberi semangat antara satu sama lain dalam memerangi penyakit kanser dihidapi. FOTO Ihsan Zahid Mohamad,

Johor Bahru: "Kami pasangan terpilih untuk menghadapi dugaan Allah SWT bersama-sama, syukur sehingga kini kami saling memberi sokongan supaya tidak putus asa," kata Zahid Mohamad, 55.

Tenaga pengajar di sebuah institut di bandar raya ini berkata, dia disahkan menghidap barah darah pada 2021 dan selang dua tahun, isterinya, Jameah Rahmat, 55, didiagnos menghidap barah payudara tahap tiga iaitu pada Februari lalu.

Menurutnya, ketika dia menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), isterinya menjadi penguat semangat termasuk menjaga serta menemaninya setiap masa.

Katanya, ia termasuk bagi rawatan kemoterapi selain pembedahan pemindahan sum sum tulang.

"Selepas setahun saya menjalani rawatan, saya hanya menjalani rawatan susulan tiga bulan sekali termasuk mengambil suntikan khas dari luar negara dengan kos RM400 setiap bulan.

"Syukur, dengan rawatan ditawarkan selain jagaan isteri, ia dapat mengurangkan tekanan dihadapi selain ia juga memupuk semangat saya untuk kembali bekerja sebagai tenaga pengajar dengan pendapatan RM2,000 sebulan," katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia bagaimanapun tidak menjangka, Jameah pula diuji dengan barah payudara dan pernah menjalani pembedahan pada 6 September lalu.

Menurutnya, isterinya sudah menjalani kemoterapi sebanyak enam kitaran selain dinasihati untuk menjalani rawatan radioaktif sebanyak 20 kitaran mulai 14 November ini di Hospital Sultan Ismail (HSI)

"Saya faham, bukan mudah menghadapi kesan akibat rawatan barah namun berbekalkan pengalaman, saya memberi sokongan kepada isteri supaya dia tidak berputus asa.

"Begitu juga dengan isteri, dia menjadi sumber kekuatan, kami saling mendoakan kesejahteraan masing-masing dan berserah kepada Tuhan," katanya.

Sementara itu, dugaan sama turut dialami sepasang lagi suami isteri yang mana si suami bukan saja diuji dengan barah kolon malah kemudiannya disahkan menghidap leukemia.

Si isteri pula didiagnos menghidap barah payudara yang kini berada pada tahap empat.

Juruteknik, Zahid Abd Manan, 57, berkata, isterinya, Zuraida Hamzah, 50, sanggup berhenti kerja bagi menjaganya yang disahkan menghidap barah kolon pada 2013.

Menurutnya, selepas selesai menjalani rawatan kemoterapi, doktor menjangka, keadaannya sudah pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, pada pada 2021, saya disahkan menghidap leukemia.

"Isteri seorang yang kuat mental dan fizikal, dia sanggup berkampung di hospital hampir setahun termasuk di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan di Hospital Ampang, Selangor bagi menemani saya ketika menerima rawatan susulan termasuk kemoterapi dan pemindahan sum sum tulang.

"Alhamdulillah, dengan kuasa Allah SWT, hasil rawatan dan penjagaan isteri, berat badan saya yang merosot kira-kira 30 kilogram meningkat tujuh kilogram, kini saya sudah mula bekerja bagi menyara keluarga," katanya.



ZAHID Abd Manan bersama isteri, Zuraida Hamzah tetap ceria dan tekad menjalani hidup seperti biasa di sebalik ujian getir Ilahi. FOTO Mary Victoria Dass

Zahid berkata, dia tidak sangka, tiba gilirannya pula untuk memberi penjagaan dan semangat kepada isterinya apabila wanita berkenaan disahkan menghidap barah payudara pada tahun Mei tahun lalu.

Menurutnya, isterinya yang juga bekas pembantu klinik di sebuah hospital swasta sudah menjalani enam kitaran kemoterapi dan 15 sesi radioterapi di HSI.

"Pada Ogos lalu, isteri kembali menjalani Imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET Scan) kerana badannya mula sakit. Doktor mengatakan, sel barahnya sudah merebak ke hati, hempedu dan tulang.

"Ia bukan saja ujian bagi isteri namun ujian bagi saya juga. Saya pasti, ujian ini bagi melihat sejauh mana saya mengambil berat berkaitan kesihatan serta keperluan isteri," katanya.

Menurut Zahid, doktor mengesyorkan supaya isterinya mendapatkan bekalan ubat 'Abraxane' kerana ia berupaya menambah jangka hayat atau bertahan.

"Ini berikutan, doktor memaklumkan, jangka hayat isteri hanya berbaki 12 hingga 24 bulan," katanya.

Zahid berkata, kos keseluruhan bagi pembelian ubat berkenaan adalah RM30,000 dan buat masa ini, keluarganya masih dalam proses mengumpul dana.

Menurutnya, pendapatannya berjumlah RM2,000 sebulan digunakan bagi menampung perbelanjaan dapur serta pembelian susu khas disyorkan doktor selain lampin pakai buang bagi kegunaannya.

Katanya, dua daripada empat anaknya sudah bekerja dan membantu sekadar yang mampu. Dua lagi masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Saya sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya memberi saya kekuatan dan melanjutkan usia demi memberi penjagaan kepada isteri.

"Saya juga berdoa supaya isteri sembuh. Saya sudah menamatkan sesi rawatan namun sehingga kini, keadaan saya tidak pulih sepenuhnya, namun saya kuatkan semangat demi isteri tercinta.

"Isteri berjiwa murni kerana gemar membantu insan dalam kesusahan termasuk beberapa pesakit barah di kawasan pedalaman, saya berharap nasib isteri juga diberi perhatian sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata, dia bersyukur kerana ahli keluarga mahupun rakannya banyak memberi semangat untuk menempuhi ujian ini.

"Walaupun suami belum pulih sepenuhnya, dia masih berusaha untuk membantu saya dalam rutin harian dan begitu juga dengan anak ketiga yang mengambil keputusan untuk menangguh pengajian kerana mahu menjaga saya.

"Saya bersyukur kerana ramai yang menyatakan saya masih ceria dan nampak sihat, ia menjadi cara saya untuk memotivasikan diri sendiri.

"Kami akan berusaha untuk meneruskan kehidupan seperti biasa, berserah kepada Tuhan dan mengikut nasihat doktor.

"Kemoterapi bukan sesuatu yang menakutkan, ia mampu mengubati barah dan kami anggap, ujian ini adalah peluang untuk kami semakin mendekatkan diri kepada Allah SWT," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/2023/10/1025457/allah-pilih-kami
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-12-2024 08:35 AM GMT+8 , Processed in 0.351473 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list