Beriani Johor kini diangkat sebagai antara makanan warisan Johor. - Foto NSTP/Izz Laily Hussein
JOHOR BAHRU: Beriani Johor kini diangkat sebagai antara makanan warisan Johor dengan mengetengahkan kelainan menunya yang turut mengandungi telur pindang dan garam berlada, sekali gus membezakan sajian itu dengan hidangan nasi yang sama di negara atau negeri yang lain.
Perkara itu akhirnya dapat dicapai dengan kerjasama dijalankan Yayasan Warisan Johor (YWJ) bersama sembilan pengusaha nasi beriani di tiga daerah di negeri ini melalui sesi bengkel selama tiga hari.
Pengarah YWJ, Sharil Nizam Abdul Rahim, berkata sembilan pengusaha nasi beriani di Batu Pahat, Johor Bahru dan Muar berkongsi cara masakan dan menu istimewa nasi beriani mereka sebelum satu kata sepakat dicapai bagi mencari kelainan menghasilkan Beriani Johor untuk diangkat sebagai makanan warisan Johor.
"Perancangan untuk mengangkat nasi beriani sebagai makanan warisan Johor sudah dibuat sejak tahun lalu dan awal tahun ini kita mula bergerak untuk merealisasikannya.
"Kita fikir perlu untuk bekerjasama dengan pengusaha-pengusaha nasi beriani di Johor ini kerana mereka sememangnya pakar dan arif mengenai sajian ini.
"Hasilnya, kita dapat capai satu kata putus atau kata kebersamaan apa yang patut ada dalam Beriani Johor iaitu telur pindang dan garam berlada yang mana kita tahu negara atau negeri lain tidak ada menu itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Beriani Johor sebagai Makanan Warisan Johor dan Seminar Sajian Warisan 2023 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, YWJ di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dan turut dihadiri Pengarah Muzium Diraja Abu Bakar, Kolonel Bersara Datuk Mohamed Perang Musa.
Sharil Nizam berkata, selain nasi beriani, YWJ sudah mewartakan beberapa sajian sebagai makanan warisan Johor seperti laksa Johor, telur pindang, mi rebus, kuih lopes, wajik dan otak-otak.
Katanya, akan datang, sajian mi bandung, sate Muar, pepes dan sirap bandung juga antara yang akan diangkat sebagai makanan warisan Johor.
Sementara itu, Sharil Nizam berkata, kerajaan negeri melalui YWJ kini dalam usaha untuk mencalonkan Beriani Johor sebagai antara Warisan Tidak Ketara yang mendapat pengiktirafan di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan,
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Beliau berkata, usaha itu dijangka mengambil masa sehingga lima tahun kerana perlu pelbagai peringkat seperti beberapa sesi pembentangan, pengisian borang dan pembacaan.
"Kita lihat banyak Warisan Tidak Ketara di negeri ini yang belum diwartakan atau mendapat pengiktirafan.
"Beriani Johor akan menjadi makanan warisan Johor pertama yang diusahakan untuk mendapat pengiktirafan di bawah UNESCO.
"Namun, syaratnya agak ketat dan mungkin ambil masa empat hingga lima tahun kerana membabitkan pelbagai peringkat," katanya.
|