View: 2958|Reply: 0
|
Industri bola sepak Malaysia 'tenat'
[Copy link]
|
|
Pungutan tiket daripada penyokong dilihat tidak mampu menjana pulangan bagi menampung kos kelab yang tinggi. - Foto fail NSTP
KUALA LUMPUR: Industri bola sepak Malaysia dianggap berada dalam tahap 'menggerunkan' susulan beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) dibelenggu isu tunggakan gaji yang serius.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa menjelaskan isu lapuk yang terus merosakkan imej Liga M itu masih berulang kerana kelab sukar menjana pendapatan susulan ekonomi merudum terutama selepas COVID-19.
Beliau berkata, kelemahan kelab dalam menarik pelabur dan penajaan juga menyebabkan kantung pasukan tidak mampu untuk menampung kos pengurusan yang tinggi dalam saingan Liga M.
Justeru, katanya individu yang memegang tampuk kepimpinan tertinggi kelab ibarat menggali kubur sendiri disebabkan terpaksa berdepan risiko besar untuk mengalami kerugian.
"Kewangan pasukan memang merudum terutama selepas COVID-19 yang mana risiko untuk mengalami kerugian amat besar. Penjenamaan pasukan juga tidak kuat untuk menarik lebih banyak penaja dan pelabur.
"Kelab bola sepak di Malaysia perlu berpijak di bumi yang nyata bahawa industri bola sepak kita memang menggerunkan, ibarat seperti menggali lubang kubur sendiri.
"Sedangkan jutawan (pemilik kelab) yang mahir dalam ekonomi pun mengalami masalah untuk dapatkan dana, inikan pula orang yang tak ada ilmu. Jadi ia satu perkara yang perlu dihindarkan mereka yang ingin ceburi dalam kancah bola sepak Malaysia.
"Tidak boleh dinafikan kos sara hidup kita ketika ini semakin meningkat dan kehadiran ke stadium untuk melihat aksi bola sepak bukan lagi pilihan buat segelintir penyokong.
"Hasil pungutan tiket kehadiran penyokong ke stadium hanyalah lima peratus sahaja, jadi pasukan perlukan penajaan untuk bertahan," katanya kepada BH Sukan.
Sebelum ini, beberapa pasukan termasuk Kelantan, Kedah Darul Aman (KDA), Kuala Lumpur (KL) City dan Sabah didakwa berdepan isu tunggakan gaji.
Kelmarin, Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard mendedahkan mereka terpaksa membuat pinjaman peribadi ratusan ribu ringgit bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji skuad City Boys.
Selain itu, Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam berkata isu tunggakan gaji wajib diselesaikan bagi mengelak implikasi lebih buruk termasuk boleh menjatuhkan nilai saingan Liga M.
"Sekiranya ia menjadi lebih buruk, kita akan lihat lebih banyak kes tunggakan gaji dibawa ke mahkamah. Isu tunggakan gaji ini juga adalah kes buli dalam bola sepak," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... epak-malaysia-tenat |
|
|
|
|
|
|
| |
|