|
PERAIH durian mengumpul buah yang dibawa penduduk dari dusun durian di Kampung Jahang, Gopeng. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
GOPENG: Laporan kemunculan harimau belang di sini menyebabkan penduduk takut untuk mengutip durian di dusun mereka, sekaligus peraih raja buah itu tidak dapat bekalan secukupnya.
Begitupun, peraih memahami rasa takut yang dialami penduduk berikutan kehadiran bintang liar itu dan berharap haiwan tersebut dapat diperangkap.
Peraih durian di Kampung Jeram di sini, Mohd. Zairie Mohd Maini, 32, berkata, laporan kemunculan harimau memberi kesan apabila tidak ramai pemilik dusun yang menjual buah kepadanya disebabkan mereka takut untuk mengutip durian di dusun.
Katanya, keadaan itu berbeza berbanding sebelum ini apabila setiap pagi, penduduk menghantar berbakul-bakul durian untuk dijual.
“Sebagai peraih, saya sangat terkesan berikutan laporan ada harimau di kawasan ini. Ini menyebabkan ramai pemilik dusun durian tak berani nak mengutip durian di kebun mereka, mereka takut kerana haiwan liar itu mungkin masih ada di kawasan ini.
“Ramai yang berkumpul di tempat saya menjual durian menyatakan rasa takut nak masuk dusun, sudah heboh fasal harimau di sini.
“Biasanya setiap pagi mereka datang menghantar durian, sampai satu tan tapi sekarang tak banyak, hanya separuh daripada jumlah biasa, ramai pelanggan ramai berhenti nak beli tapi buah durian tidak cukup,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, permintaan buah durian tinggi pada masa ini selain dimakan, durian juga dibuat ais krim.
“Kami berharap pihak Perhilitan dapat menangkap harimau belang itu demi keselamatan kami di sini,” katanya.
Sementara itu, pemilik pemilik dusun durian, Abdul Hamid Osman, 58, berkata, dia membakar mercun setiap kali ke kebun sebagai langkah berjaga-jaga berikutan laporan kemunculan haiwan itu.
Katanya, tindakan membakar mercun diharap dapat menakutkan harimau belang atau lain-lain haiwan liar di dalam hutan berdekatan dusunnya.
“Ini antara cara saya berwaspada, menjaga keselamatan setiap kali masuk dusun, apatah lagi kalau masuk dusun bersendirian.
“Biasanya saya masuk dusun pada awal pagi dan lewat petang. Sebelum masuk dusun, saya bakar mercun dan letupannya diharap dapat menghalau apa jua binatang liar yang ada di kawasan dusun ini.
“Jika sudah dipasang mercun, tidaklah rasa takut sangat. Ini sebagai langkah berjaga-jaga semasa sedang kecoh kes harimau masuk ke kawasan kampung.
Menurutnya, walaupun ada ancaman harimau belang, dia tetap ke dusun durian ketika musim raja buah itu.-UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... kemunculan-harimau/ |
|