|
MUHAMMAD Noah (kiri) kini dirawat di PICU Hospital Melaka selepas tidak sedarkan diri di taska. FOTO IHSAN MUHAMMAD AZIZAN MOHD SAHAT
Melaka: "Doakan agar anak saya kembali sihat dan semoga ada keajaiban buat Noah," kata Muhammad Azizan Mohd Sahat, 31, bapa kepada bayi lelaki berusia 12 bulan yang tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika berada di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Pertam Jaya, pada Selasa lalu.
Bapa kepada dua anak itu berkata, harapan dia dan isteri, Nurul Fatihah Mohd Fauzi, 30, kini adalah supaya anak bongsunya segera sedar selepas tidak sedarkan diri sejak lima hari lalu.
"Kejadian ini amat mengejutkan kami sekeluarga kerana ia berlaku secara tiba-tiba, meskipun sedih dengan apa yang berlaku namun saya serta tidak berhenti berharap agar anak kembali sembuh.
"Sebagai bapa sudah pasti saya sedih memikirkan keadaan anak, setiap hari saya tidak henti berdoa supaya Noah segera pulih. Jadi saya minta agar semua dapat bantu saya untuk sama-sama doakan Noah," katanya.
Muhammad Noah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka selepas menjalani pembedahan.
Media sebelum ini melaporkan, bayi lelaki itu mengalami pendarahan di kepala selepas tidak sedarkan diri ketika dalam jagaan di sebuah taska di Pertam Jaya, Semabok, di sini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian susulan laporan polis dibuat oleh bapa bayi pada 12.30 tengah hari.
Beliau berkata, pada jam 9.30 pagi hari sama, bapa bayi dihubungi menerusi mesej pesanan suara oleh pemilik taska memaklumkan mata anaknya tiba-tiba naik ke atas ketika sedang mandi dan dipakaikan baju.
Susulan siasatan dijalankan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka mendapati taska yang menjaga bayi lelaki berkenaan tidak berdaftar.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... keajaiban-buat-noah |
|