CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1647|Reply: 0

[Johor] 2 ditahan dipercayai buang 250 kg sisa toksik dalam parit

[Copy link]
Post time 5-11-2023 03:40 PM | Show all posts |Read mode

Kesan pembuangan hampir 250 kilogram (kg) dipercayai sisa toksik berbahaya yang dibuang ke dalam saliran berhampiran anak Sungai Tebrau, di Jalan Kempas-Seelong, Kulai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Kulai: Hampir 250 kilogram (kg) dipercayai sisa toksik berbahaya dibuang ke dalam saliran berhampiran anak Sungai Tebrau di Jalan Kempas-Seelong di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, dua lelaki berusia 46 dan 48 tahun yang mendalangi perbuatan itu turut ditahan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff, berkata dua suspek yang juga pemandu treler dan kelindannya ditahan polis hasil maklumat awam.

Katanya, anggota JAS dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan polis mengenai penahanan dua suspek yang dipercayai sedang membuat pelupusan haram bahan buangan terjadual berbahaya membabitkan sisa toksik berkenaan.



"Siasatan JAS di lokasi kejadian menemukan kesan berwarna hijau dan merah di atas permukaan tanah selain cecair berminyak berwarna putih dan perang di dalam longkang yang berbau tengik.

"Sisa buangan yang dipercayai bahan terbuang berjadual membabitkan sisa toksik berbahaya itu didapati mengalir ke dalam saliran bersebelahan kebun kelapa sawit berhampiran yang menghubungkan ke anak Sungai Tebrau.

"Pemeriksaan ke atas treler dibawa suspek menemukan 20 tong mengandungi cecair hitam, perang dan putih disyaki bahan buangan terjadual membabitkan sisa toksik berbahaya.

"Sampel bahan yang dipercayai sisa toksik yang dibuang itu diambil di lokasi kejadian untuk dihantar ke makmal kimia untuk dianalisis namun menerusi pemerhatian awal ia membabitkan beberapa minyak terbuang dan bahan epoksi.

"Menerusi siasatan awal, kegiatan dua suspek berkenaan dipercayai sudah dilakukan sejak bulan lalu" katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi selepas permohonan dibuat Pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor di Mahkamah Majistret Kulai, pagi tadi.

Reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas mereka mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek boleh dikenakan hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun dan denda maksimum RM500,000.

Pada 16 September 2021, empat wanita daripada Kampung Baru Sri Aman, dikejarkan ke hospital selepas sesak nafas dan pengsan akibat terhidu bahan dipercayai sisa toksik berbahaya.

Berikutan itu, arahan pengosongan kampung berkenaan dilaporkan dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru, sebelum semua mereka dibenarkan kembali sehari selepas kejadian.

Lokasi kejadian dua tahun lalu itu terletak kira-kira lima kilometer daripada lokasi dua suspek yang ditahan awal pagi semalam, membuang bahan dipercayai sisa toksik berbahaya.

Sementara itu, tinjauan di kawasan saliran berhampiran anak Sungai Tebrau mendapati JAS sudah menutup kawasan berkenaan dengan pita keselamatan bagi menggelakkan orang awam memasuki kawasan berkenaan.

Bagaimanapun kesan berminyak berwarna hitam dapat dilihat dengan jelas sepanjang kira-kira 300 meter saliran berkenaan dengan 'oil boom' turut dilihat diletakkan bagi menghalang pencemaran merebak ke kawasan lebih besar.

Seorang peniaga kedai makan di Jalan Kempas-Seelong, Abu Hanzalah Mohd Radzi, berkata beliau sudah terhidu bau tengik dan amat busuk sejak beberapa hari lalu.

"Pendingin hawa kereta sudah rosak menyebabkan apabila memandu terpaksa buka tingkap. Apabila saya lalu di kawasan saliran didakwa bahan dipercayai sisa toksik dibuang itu memang dapat hidu bau yang amat busuk dan menyesakkan nafas

"Saya tidak syak apa-apa kerana di sini memang banyak kilang dan kawasan perindustrian namun hari ini pekerja memaklumkan ada insiden pembuangan bahan dipercayai sisa toksik berlaku tidak jauh dari gerai kami menyebabkan saya risau," katanya.

Seorang penduduk Kampung Pemuda Jaya yang mahu dikenali sebagai Hassan, 27, berkata, penduduk kampung berkenaan belum mengesan sebarang bau busuk dipercayai sisa toksik walaupun mengetahui penahanan dua suspek berkenaan, semalam.

Bagaimanapun katanya, penduduk berharap dan berdoa supaya kesan pencemaran itu tidak mengalir serta merebak di kawasan saliran dan sungai berhampiran berikutan musim hujan kebelakangan ini.

"Kami teringat insiden sisa toksik di Kampung Baru Sri Aman yang tidak jauh daripada sini sehingga menyebabkan ada penduduk pengsan akibat terhidu gas toksik merbahaya.

"Namun musim hujan kebelakangan ini menyebabkan penduduk bimbang jika kesan pencemaran itu merebak," katanya.

https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -toksik-dalam-parit

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-12-2024 09:01 AM GMT+8 , Processed in 0.567209 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list