View: 6574|Reply: 0
|
[Negeri Sembilan]
Bekas gangster terima hidayah di penjara
[Copy link]
|
|
MOHD Bilal (kiri) ketika menyertai Kursus Pemantapan Aqidah Saudara Baru dan Anak Saudara Baru Anjuran Persatuan Ukhwah Saudara Baru Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham
Seremban: Indahnya percaturan Allah apabila lelaki ini mendapat hidayah ketika menerima hukuman penjara kerana kesalahan terbabit dengan pergaduhan sehingga mencederakan pemilik kereta yang cuba ditariknya.
Hasil perbualan bersama rakan Muslim mengenai agama Islam ketika menerima hukuman di Penjara Sungai Udang, Melaka, membuatkan dia tertarik sebelum nekad memilih untuk bersyahadah dan mengamalkan cara hidup berlandaskan syariat.
Lebih istimewa, nama Islam Mohd Bilal Abdullah, 38, yang pernah bergelumang dengan gangsterisme dan kongsi gelap ini juga dipilih rakan banduan.
Menceritakan pengalamannya terjebak dengan kongsi gelap, Mohd Bilal berkata, dia mencari pendapatan dengan menarik kereta dan kerap terbabit dengan pergaduhan ketika melaksanakan kerjanya itu.
"Saya terbabit dengan kongsi gelap ini dalam tempoh tiga ke empat tahun. Masa tarik kereta memang tiada belas kasihan termasuk kaum wanita sekalipun.
"Pada 2019, ketika sedang menarik kereta seorang lelaki, pemiliknya menikam tangan kiri saya menggunakan pisau sebelum saya mempertahankan diri dan menikam semula tangannya," katanya ketika ditemui.
Dia salah seorang peserta Kursus Pemantapan Akidah Saudara Baru dan Anak Saudara Baru anjuran Persatuan Ikatan Ukhuwah Saudara Baru (PIUSBA) Negeri Sembilan.
Mohd Bilal berkata, akibat kejadian itu, dia dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun manakala lelaki berkenaan menerima hukuman penjara lapan bulan.
"Ketika di dalam penjara, saya mencari haluan hidup saya dan mula mendengar mengenai Islam daripada rakan dari Afrika, saudara baru dan banduan Melayu lain.
"Selepas mendapat pendedahan ini, saya nekad bahawa ini adalah jalan yang betul, saya akan hidup dengan agama ini. Walaupun susah sekalipun, saya hadapinya," katanya.
Bapa kepada kepada seorang anak berusia enam tahun itu berkata, dia bersyahadah pada Mac 2022 ketika berada di dalam penjara sebelum dibebaskan kira-kira seminggu kemudian.
"Sepatutnya hukuman saya lebih lama, namun dibebaskan awal kerana berkelakuan baik. Selepas dibebaskan saya terus Majlis Agama Islam Melaka (Maim) untuk berdaftar.
"Saya mendapat bimbingan dan didikan di Maim kira-kira empat bulan. Dalam masa sama saya turut mendaftarkan dan mengislamkan anak," katanya.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, keluarganya tidak bersetuju dengan pilihannya itu memandangkan mereka daripada keluarga yang mempunyai latar belakang agama asal yang kuat.
Jelasnya, pihak berkuasa agama di negara ini perlu memperbanyakkan lagi program agama untuk membimbing saudara baru bagi mengelakkan mereka sesat atau kembali ke agama asal.
Sementara itu, Pengerusi PIUSBA Negeri Sembilan, Muhammad Ridzuan Lau Abdullah berkata, kebanyakan saudara baru dahagakan ilmu mengenai Islam dan pihaknya mengambil tanggungjawab untuk membimbing mereka.
"Selain adat budaya kaum, mereka berhadapan kekangan keluarga serta rakan selepas memeluk Islam.
"Kita perlu bantu dan bimbing mereka mendalami agama. Kebanyakan mereka kurang pemahaman daripada segi akidah dan amalan. Mereka sebenarnya berminat, namun ada kekangan termasuk kelas bimbingan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -hidayah-di-penjara |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|