|
Qabil Irfan sambar petak utama
QABIL Irfan akan bermula di petak pertama perlumbaan kategori 160cc Kejuaraan Motosikal Siri Dunia Akhir FIM MiniGP di Valencia, Sepanyol, esok. FOTO ZK RACING
Kuala Lumpur: Pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan mencetuskan sensasi apabila meraih petak pertama perlumbaan kategori 160cc Kejuaraan Motosikal Siri Dunia Akhir FIM MiniGP di Valencia, Sepanyol, esok selepas mengungguli sesi kelayakan, hari ini.
Qabil yang sememangnya berbakat besar, mencatat masa sepusingan terpantas 44.166 saat (s), sekali gus mengatasi barisan pelumba lain di Litar Ricardo Tormo.
"Alhamdulillah mungkin ini rezeki saya tahun ini dan saya tak sangka boleh raih petak pertama.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan yang menyediakan motor terbaik untuk saya. Terima kasih kepada ayah dan ibu saya yang selalu memberi sokongan.
"Daripada sesi latihan bebas pertama saya cuba tingkatkan prestasi jentera dan cara menunggang.
"Saya tak akan sia-siakan kedudukan pertama ini dan harap esok saya dapat kekal di kedudukan hadapan," katanya menerusi video yang dikongsikan oleh pasukan ZK Racing.
Pelumba berusia 11 tahun berasal dari Terengganu itu menduduki empat terbaik pada tahun lalu.
Selain Qabil, seorang lagi pelumba negara yang beraksi dalam kategori 160cc adalah Airel Marzuki.
Selain kategori 160cc, tiga lagi pelumba negara akan beraksi dalam kelas 190cc iaitu Farish Hafiy, Emil Idzhar dan Adi Putra.
Kejuaraan dunia ini menghimpunkan pelumba terbaik dari Alpe-Adria, Australia, Austria, Kanada, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Ireland, Itali, Jepun, Malaysia, Portugal, Qatar, Sepanyol, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -sambar-petak-utama
|
|